Pasukan Liga-M berbelanja seadanya

Laporan Sinar Harian pada 4 Januari lalu. Gambar kecil: Manja
Laporan Sinar Harian pada 4 Januari lalu. Gambar kecil: Manja
A
A
A

SETIAP pasukan sekali lagi diingatkan supaya berbelanja secara berhemah menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2023 pada 24 Februari depan.

Bekas legenda bola sepak Perlis dan Kedah, Manja Man berkata, pasukan bertanding harus bijak berbelanja bagi mengelak masalah kewangan timbul pada kemudian hari.

“Jika kita ambil contoh musim lalu, PJ City FC mampu bersaing dengan pasukan besar Liga Super sehingga menghasilkan beberapa keputusan mengejut biarpun mereka hanya dibarisi pemain lokal.

“Begitu juga dengan pencapaian Kelantan FC apabila berjaya muncul naib juara Liga Premier dengan perbelanjaan yang cukup berhemah.

“Jadi, dua contoh ini perlu dijadikan ikutan pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super 2023 kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Baru-baru ini, Sukan Sinar melaporkan masalah kewangan menjadi antara faktor penyebab UiTM FC menarik diri daripada saingan Liga-M musim ini.

Mengulas lanjut, Manja Man berkata, perbelanjaan berhemah secara tidak langsung akan membantu pengurusan setiap pasukan lebih berdisiplin dalam aspek kewangan.

“Bagi saya, gaji pemain mengikut kemampuan kelab. Biar kelab menawarkan bonus perlawanan supaya pemain mengejar kemenangan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila menyentuh soal pemilihan pemain, kadang-kadang pemain import juga mengarut kecuali (pemain import) JDT (Johor Darul Ta'zim).

“Yang paling penting sebenarnya adalah pendekatan bagaimana pengurusan pasukan hendak sesuaikan dengan pemain lokal dan import sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, Manja Man percaya, penarikan diri UiTM FC tidak menjejaskan perancangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memastikan kelancaran Liga Super musim ini.

“Saingan Liga Super kali ini sebenarnya lebih kompetitif apabila setiap pasukan bakal mengharungi perlawanan yang banyak berbanding musim lalu.

“Itu belum lagi mengambil kira saingan Piala FA dan Piala Malaysia. Ini perkembangan positif kepada skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon dalam mencari pemain berkualiti,” jelasnya.