Senario kurang sihat industri bola sepak negara

­Sathianathan­
­Sathianathan­
A
A
A

KELAB Liga Malaysia (Liga-M) dinasihatkan supaya melakukan kajian lebih teliti pada masa depan sebelum mengambil jurulatih asing bagi menguruskan pasukan masing-masing.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menegaskan, tindakan merehatkan jurulatih pasukan yang tidak mencapai prestasi dalam beberapa perlawanan bukan sesuatu yang sihat bagi industri bola sepak negara.

Tegasnya, reputasi dimiliki seseorang jurulatih asing juga bukan jaminan pasukan akan cemerlang dalam saingan liga tempatan yang begitu kompetitif.

“Sejujurnya banyak perkara sebenarnya yang mempengaruhi prestasi sesebuah pasukan tersebut selain pengalaman jurulatih itu sendiri.

“Namun pada saya, kes pertikaian jurulatih asing dan kelab, jurulatih akan terus membuat laporan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya berlaku isu berbangkit.

“Dan dalam kebanyakan kes pula, berdasarkan kontrak keputusan akan memihak kepada jurulatih yang membuat aduan kepada badan induk bola sepak antarabangsa itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Terdahulu saingan Liga Super yang baru memasuki tujuh perlawanan dikejutkan kemelut dalaman Kelantan FC dengan pengendalinya dari Korea Selatan, Choi Moon-sik.

Insiden melanda The Red Warriors (TRW) turut mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyiasat kemelut tersebut.

Tidak terhenti di situ, Kelantan United juga mengambil tindakan sama apabila merehatkan pengendalinya, Tomas Trucha berikutan prestasi kurang memuaskan dalam saingan liga musim ini,

Sebagai rekod, Kelantan FC dan Kelantan United kini menduduki tangga ke-13 serta 14 Liga Super selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Dalam masa sama Sathianathan percaya setiap pertikaian yang timbul antara jurulatih dan kelab dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya kedua-dua pihak memahami kontrak dipersetujui.

“Masalah tidak akan timbul sekiranya pengurusan kelab melaksanakan perkara yang termaktub dalam kontrak sebelum ini.

“Sekiranya khidmat jurulatih berdepan masalah disebabkan prestasi pasukan, maka pengurusan perlulah membayar pampasan atau perkara yang termaktub dalam kontrak.

“Jadi pesan saya kepada kelab Liga Malaysia yang menggunakan khidmat jurulatih asing supaya lebih profesional dalam menyelesaikan isu berbangkit.

“Jika sebelum ini kelab mengikat jurulatih berdasarkan terma kontrak, seharusnya pendekatan sama digunakan sekiranya khidmat tidak diperlukan disebabkan faktor prestasi pasukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sathianathan memaklumkan bahawa setakat ini PJBM masih belum menerima sebarang laporan berkenaan tunggakan gaji atau masalah berkaitan dalam kalangan ahlinya.

“Sekiranya masalah timbul, saya minta dalam kalangan ahli untuk terus membuat laporan kepada persatuan supaya tindakan segera dalam diambil dalam menyelesaikan berbangkit,” katanya.