Giliran UiTM FC tarik diri dari Liga Super

No Image Caption
A
A
A

LIGA Malaysia (Liga-M) terus menerima tamparan hebat apabila UiTM FC muncul kelab kedua menarik diri daripada saingan Liga Super musim ini selepas Petaling Jaya City (PJ City).

Perkara itu disahkan Presiden The Lion Troops, Profesor Dr Sazili Shahibi, selepas dua musim kelab tersebut beraksi di pentas Liga Super.

Selain masalah kewangan, Dr Sazili menjelaskan ada punca lain mengapa pihak pengurusan mengibarkan bendera putih dalam mengharungi kancah tertinggi bola sepak negara itu.

“Ahli Lembaga Pengarah UiTM telah bermesyuarat dan (kami mengambil) keputusan untuk menarik diri daripada liga pada musim depan.

“Kewangan adalah salah faktornya, tapi kami rasa dari segi kemampuan, ia tidak sesuai buat pemain-pemain kami,” katanya ketika dihubungi Astro Arena pada Rabu.

Dalam pada itu, Sazili juga berhasrat memaklumkan UiTM bakal beralih ke saingan Liga M3 musim ini.

Untuk rekod, UiTM muncul pasukan berstatus universiti pertama yang layak beraksi dalam saingan Liga Super.

Dalam pada itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hanya akan menjelaskan situasi berkenaan menerusi kenyataan rasmi bakal dalam masa terdekat selepas hanya 14 pasukan yang akan bertanding di pentas Liga Super musim ini. - Astro Arena

Artikel Berkaitan: