Permohonan pekerja asing lulus tiga hari

Permohonan pekerja asing bagi tujuh sektor utama akan diluluskan dalam tempoh tiga hari. - Gambar hiasan
Permohonan pekerja asing bagi tujuh sektor utama akan diluluskan dalam tempoh tiga hari. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Majikan yang memohon pekerja asing bagi tujuh sektor utama diberi jaminan mendapat kelulusan dalam tempoh tiga hari.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan itu dibuat melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dipersetujui dalam mesyuarat khas pengurusan pekerja asing pada Selasa.

"Kita namakan kelulusan bersyarat dan selepas diluluskan, ia akan melalui proses naziran serta pemeriksaan berskala oleh agensi berkaitan," katanya menerusi sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Menurutnya, kelonggaran tersebut bagaimana pun tidak bersifat kekal sebaliknya bersifat luar jangka (unprecedented).

"Suka untuk saya ingatkan bahawa kemudahan dan kelonggaran yang dirangka ini bukanlah untuk tempoh selama-lamanya namun ia hanya bersifat luar jangka bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, kelonggaran bersyarat itu antaranya termasuk pematuhan kepada Akta Pekerja 1955 khususnya Seksyen 60K.

"Melalui pelan ini, majikan akan dibenar untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kepada kemampuan dan keperluan sebenar majikan tanpa perlu melalui pra-syarat kelayakan penggajian serta kuota," katanya.

Artikel Berkaitan:

Negara sumber adalah Indonesia, Nepal, India, Filipina, Bangladesh, Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan bagi memenuhi keperluan tujuh sektor kritikal antaranya adalah perkhidmatan, perkilangan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

Tegas beliau, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara sentiasa dipastikan dalam aspek pengurusan pekerja asing.

"Pada masa sama. kerajaan juga menjamin bahawa semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi haknya secara saksama," katanya.

Saifuddin berkata, maklumat terperinci mengenai kelonggaran tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan wujud kebimbangan rakyat tempatan dan pihak berkaitan lambakan pekerja asing susulan kelonggaran tersebut, beliau berkata, kerajaan menetapkan siling keperluan pekerja asing yang munasabah iaitu sejumlah 2.4 juta menjelang 2025 iaitu 15 peratus dari jumlah tenaga kerja negara.

"Keperluan kerancakan ekonomi hanya bagi sektor kritikal. Ada sektor yang belum dibuka kepada pekerja asing kerana mengutamakan tenaga tempatan.

"Ia (pelan kelonggaran) tidak mengambil peluang kerja rakyat tempatan kerana ia bagi pekerjaan 3D (kotor, sukar, bahaya). Peluang kerja rakyat tempatan tidak terusik," katanya.