79 warga PDRM Terengganu terlibat salah laku tahun lepas

Rohaimi
Rohaimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 79 kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu terlibat dalam pelbagai kes salah laku dan masalah disiplin sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, jumlah itu melibatkan 16 kesalahan jenayah, salah laku (47), narkotik (lima), tidak hadir tugas (lapan), syariah (dua) dan satu kes berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Antara kesalahan paling serius ialah kes ugutan terhadap masyarakat. Kita memandang serius hal ini kerana polis sepatutnya menjadi pelindung kepada orang ramai.

"Justeru kita akan mengadakan lebih banyak kursus dan program bersesuaian pada tahun ini di peringkat negeri dan daerah bagi meningkatkan integriti anggota serta pegawai PDRM," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, pada Selasa.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan PDRM kepada 27 penerima termasuk anggota dan pegawai agensi penyelamat serta pengamal media yang telah memberi laporan tepat dan telus berkaitan tugas-tugas kepolisan.

Dalam pada itu, Rohaimi berkata, kadar indeks jenayah Terengganu tahun lepas telah mencatat penurunan sebanyak 7.34 peratus iaitu 1,477 kes berbanding 1,597 kes pada 2021.

Menurut beliau, bagi kesalahan narkotik, sebanyak 119 tangkapan melibatkan 11,086 suspek direkodkan tahun lepas berbanding 117 tangkapan membabitkan 10,222 suspek pada 2021.

"Bagi jenayah komersial pula, sebanyak 1,311 kes melibatkan 536 tangkapan dilakukan tahun lepas berbanding 1,219 kes dengan 401 tangkapan pada 2021. Kes terbesar melibatkan penipuan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: