Malaysia berminat sertai pembangunan IKN Nusantara

Majlis penyerahan LoI yang berlangsung di sebuah hotel di Jakarta sempena lawatan rasmi Anwar ke Indonesia pada Ahad.
Majlis penyerahan LoI yang berlangsung di sebuah hotel di Jakarta sempena lawatan rasmi Anwar ke Indonesia pada Ahad.
A
A
A

JAKARTA - Malaysia menyatakan hasrat berminat untuk terlibat dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara di Kalimantan Timur berdekatan Sarawak sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara republik itu.

Hasrat tersebut dizahirkan melalui penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh 10 syarikat Malaysia bernilai lebih RM1 bilion kepada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dengan disaksikan Anwar dalam satu majlis di sebuah hotel, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Syarikat Malaysia yang terlibat adalah Success Electronics & Transformer Manufacturer Sdn Bhd (SETM); Carsome; Olympic Cable Company (OSK Group; Boustead Properties Berhad dan Berjaya Corporation Berhad dan Pharmaniaga Berhad.

Syarikat lain, Alliance MEP (Sarawak) Sdn Bhd; Tenaga Nasional Berhad; Protasco Berhad dan Reneuco Berhad.

LoI itu membabitkan pelaksanaan lampu pinta jalan, e-dagang kereta bersepadu, kabel aluminium dan tembaga, pembangunan hartanah, kejuruteraan sisa pepejal dan bekalan air, perkhidmatan kesihatan, kejuruteraan pembangunan infrastruktur dan pengurusan tenaga.

Pada majlis sama, sembilan memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat swasta Malaysia dan Indonesia dimeterai dengan pelaburan berpotensi berjumlah lebih RM1.66 bilion melibatkan pelbagai bidang ekonomi.

Antaranya, kejuruteraan perkapalan, perbankan, teknologi pembuatan bateri, penerokaan tenaga hijau dan pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara serta sains teknologi.

Artikel Berkaitan:

Anwar pada Ahad meneruskan tradisi bertemu rakan sejawat di Indonesia dalam lawatan rasmi pertama ke luar negara bagi membincangkan beberapa agenda penting ke arah mempertingkatkan hubungan dua hala.

Pada Isnin iaitu hari kedua lawatan, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Istana Bogor bagi membincangkan agenda penting mempertingkat kerjasama dua hala kedua-dua negara.