Servis percuma baiki 200 motosikal terjejas banjir

Sebahagian motosikal yang diperiksa di Kampung La, Hulu Besut pada Jumaat.
Sebahagian motosikal yang diperiksa di Kampung La, Hulu Besut pada Jumaat.
A
A
A

BESUT - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan perkhidmatan servis motosikal percuma kepada 200 pemilik motosikal di Kampung La, Hulu Besut di sini yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Penyelaras Program Ride dan Misi Bantuan Pasca Banjir Kampung La, Hassan Harun berkata, NGO terlibat ialah Iman Care, Alternative Ride Club (ARC) dan Warga Cakna.

"Kebanyakan penduduk kampung ini bekerja sebagai petani dan pekebun yang sangat memerlukan motosikal sebagai pengangkutan utama mereka dalam urusan seharian.

"Kita harap dengan inisiatif ini, ia dapat meringankan beban kewangan mangsa banjir," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan itu melibatkan 30 pemilik motosikal berkuasa tinggi dan motosikal biasa di sekitar daerah Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan daerah Besut.

"Antara perkhidmatan yang ditawarkan kepada pemilik motosikal yang terjejas ialah menggantikan minyak pelincir serta palam pencucuh.

"Selain servis motosikal percuma, tiga NGO tersebut turut menyalurkan sumbangan barangan keperluan makanan kepada pemilik kediaman yang terjejas teruk di kampung itu," kata beliau.

Sementara itu, kebanyakan pemilik motosikal yang ditemui meluahkan rasa bersyukur atas keprihatinan pihak yang sudi menawarkan bantuan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

Rosmalizawati Latif, 37, berkata, dia sememangnya menunggu tawaran seperti itu selepas rumahnya dinaik air.

"Saya amat memerlukan bantuan ini kerana banjir kali ini menyebabkan hampir 90 peratus barangan di rumah saya musnah.

"Bila ada program sebegini, ia sekurang-kurangnya dapat membantu saya menjimatkan perbelanjaan," katanya.