Pihak berkuasa agama disaran turun padang

Wan Zahidi (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Nooh (tengah) selepas menjadi panel program Liqa' Fikri Bersama Pengerusi Muzakarah MKI dan Mufti Perak di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat.
Wan Zahidi (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Nooh (tengah) selepas menjadi panel program Liqa' Fikri Bersama Pengerusi Muzakarah MKI dan Mufti Perak di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Pihak berkuasa agama negeri disaran turun padang bertemu masyarakat untuk memberi pencerahan terhadap sebarang keraguan yang timbul berkaitan akidah disebabkan pengaruh media sosial ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Nooh Gadot berkata, sebarang maklumat terkini mengenai fatwa, hukum dan perkara-perkara berkaitan agama Islam perlu disebarluaskan kepada masyarakat untuk memberi kefahaman.

Jelasnya, pendekatan dakwah mesti menjadi keutamaan dalam isu-isu akidah dan tindakan penguatkuasaan haruslah menjadi perkara terakhir untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Tindakan untuk menyelesaikan masalah ini adalah melalui pendidikan, bimbingan. Sebab itu di semua jabatan agama negeri kalau takdirnya ada sesuatu maklumat tentang ajaran salah yang dilakukan, biasanya pegawai penyelidikan dan dakwah akan turun dapatkan maklumat. Kalau betul berlaku, perlu diberikan pencerahan dan keinsafan.

"Melalui penguatkuasaan adakalanya tidak boleh menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi malah akan menambahkan permusuhan dia dan ahli keluarga yang tak berdosa itu disebabkan aib atau sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel program Liqa' Fikri Bersama Pengerusi Muzakarah MKI dan Mufti Perak di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada program itu, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang menjadi salah seorang panel manakala Felo Pengajian Islam Oxford dan Ahli Lembaga Pengarah USAS, Datuk Afifi Al-Akiti sebagai moderator.

NOOH
NOOH

Sementara itu, Nooh berkata, individu yang terlibat di dalam masalah berkaitan akidah ini tidak seharusnya dilayan sebagai musuh kerana ia tidak akan menyelesaikan isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tapi anggap mereka sebagai rakan atau sahabat yang dalam keadaan sakit macam penagih dadah yang sekarang pendekatannya mereka dianggap sebagai orang sakit yang perlukan rawatan atau ubat.

"Jadi kita menganggap mereka ini perlu kepada rawatan yang sebaik-baiknya, tetapi kalau dah tak ada jalan lain untuk mencegahnya daripada merebak, barulah menggunakan penguatkuasaan," katanya.

Memberi contoh di Johor, Nooh berkata, terdapat program mufti bersama masyarakat untuk menjelaskan fatwa-fatwa yang telah diwartakan begitu juga agensi berkaitan agama yang lain.

Jelasnya, orang ramai yang ragu-ragu tentang perkara yang ditemui di media sosial berkaitan agama Islam dinasihat untuk mendapatkan pencerahan daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing seperti kadi besar, mufti dan sebagainya.