Meta tambah ciri keselamatan lindungi remaja di media sosial

No Image Caption
A
A
A

WASHINGTON - Meta pada Selasa mengumumkan pelancaran siri ciri keselamatan bagi melindungi remaja di seluruh platform media sosial Meta, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pengumuman yang paling penting melibatkan pengenalan alat pengawasan ibu bapa untuk Messenger dengan penjaga kini mempunyai akses kepada maklumat seperti jumlah masa yang diluangkan oleh remaja di Messenger, kemas kini senarai kenalan dan tetapan privasi mereka serta butiran tentang siapa yang boleh menghantar mesej selain melihat cerita di Messenger anak masing-masing.

Selain Messenger, Meta sedang membangunkan ciri untuk mengehadkan orang yang boleh menghantar mesej langsung di Instagram.

Pengumuman itu dibuat sejurus selepas penyiasatan Wall Street Journal menemukan contoh di mana sistem pengesyoran Instagram memudahkan sambungan yang berkaitan dengan perkongsian bahan terlarang yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur.

Sebagai tindak balas, Meta melumpuhkan beribu-ribu hashtag dan merungkai 27 rangkaian yang dikaitkan dengan kandungan sedemikian sejak dua tahun lalu.

Walaupun aplikasi Meta mempunyai syarat umur minimum 13 tahun, syarikat itu mengakui bahawa kanak-kanak boleh mencari kaedah untuk memintas sekatan ini.

Selain penambahan ciri keselamatan, Meta juga mengambil langkah untuk menggalakkan corak penggunaan yang lebih sihat dalam kalangan remaja dengan pemberitahuan supaya mereka berehat selepas 20 minit melayari Facebook.

Industri media sosial menghadapi peningkatan penelitian daripada penggubal undang-undang dan pengawal selia mengenai kesan media sosial terhadap remaja.

Pada Mei, pakar bedah Amerika Syarikat Dr Vivek Murthy memberi nasihat yang menonjolkan kesan penggunaan media sosial terhadap pengguna muda dan pada bulan yang sama pentadbiran Biden menubuhkan pasukan petugas khusus untuk mengkaji pengaruh media sosial terhadap kanak-kanak.

Meta berhadapan penelitian tambahan pada 2021 apabila pemberi maklumat Facebook Frances Haugen mendedahkan dokumen dalaman yang menunjukkan bahawa syarikat itu menyedari kesan negatif Instagram terhadap gadis remaja. - Bernama