Ambil alih saham Menara KL: SPRM tahan dua Datuk

Kedua-dua pengarah syarikat bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun itu ditahan lewat petang Jumaat di Ibu Pejabat SPRM. - Gambar hiasan
Kedua-dua pengarah syarikat bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun itu ditahan lewat petang Jumaat di Ibu Pejabat SPRM. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua orang pengarah kanan syarikat untuk siasatan berhubung pembelian saham dan pengambilalihan konsesi Syarikat Menara Kuala Lumpur.

Kedua-dua pengarah syarikat bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun itu ditahan lewat petang Jumaat di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Menurut sumber, salah seorang daripada suspek ialah pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham Syarikat Menara Kuala Lumpur.

"Seorang lagi suspek pula adalah ahli perniagaan berjawatan pengarah syarikat bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pengambilalihan syarikat tersebut bagi pihak orang atasan.

"Disyaki pemilihan syarikat terbabit melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada 'orang atasan' bagi membantu pengambilalihan tersebut," katanya.

Tambah sumber, sebelum ini SPRM dilaporkan telah menjalankan siasatan berhubung isu penjualan saham dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, milik penuh Telekom Malaysia (TM).

Katanya, beberapa saksi termasuk pegawai kanan TM, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta syarikat-syarikat terlibat telah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan dua individu terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," tegasnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berharap semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan.