MBAS tidak benarkan pembantu bazar Ramadan bawah 12 tahun

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak membenarkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun untuk membantu ataupun bekerja di tapak bazar Ramadan yang akan bermula dari 23 Mac hingga 22 April depan.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, peniaga bazar perlu mematuhi syarat ditetapkan dan perlu memastikan perkara terbabit tidak berlaku.

Tegas beliau, peniaga perlu memastikan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan bekerja di tapak bazar nanti tidak kira sama ada pembantu itu adalah kalangan ahli keluarga ataupun anak.

"Jikalau kita hendak ada pembantu (pastikan) kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang membantu ataupun berniaga di bazar Ramadan.

"Sesiapa berusia 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan, walaupun anak-anak kerana takut (timbul) tafsiran lain pula," katanya kepada Sinar Harian pada sidang media di Menara MBAS, di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, kata Mohd Yusri, orang awam yang ingin mendapatkan borang tapak bazar yang akan dijual bermula 9 hingga 19 Januari ini perlu mendapatkan suntikan tifoid untuk pengendali makanan.

Kata beliau, peniaga juga perlu menjaga kebersihan dengan memakai apron dan penutup kepala serta tidak membuang sampah sarap di merata tempat.

"Kami mohon kepada peniaga supaya tidak membuang sampah dan sisa makanan atau minuman di tempat awam berhampiran tempat kita berniaga.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga kita kesan sampah dibuang di pokok-pokok yang ditanam hingga menyebabkan tumbuhan tersebut mati," katanya.

Mohd Yusri turut mengingatkan peniaga bazar Ramadan di bandaraya Alor Setar supaya tidak sewenang-wenangnya 'mengalibabakan' tapak perniagaan kepada pihak ketiga.

"Kita sama sekali tidak membenarkan tapak bazar 'dialibabakan' mana-mana pihak dan tidak akan bertoleransi dengan mereka yang melakukan perkara tersebut.

"Jika kami terima maklumat berlaku kes peniaga 'mengalibabakan' tapak bazar ini, maka secara automatik lesen mereka akan dibatalkan," katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memastikan peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri hanyalah warganegara Malaysia sahaja.

"Peniaga juga diharapkan tidak sesuka hati membuat pertukaran nombor tapak antara mereka ataupun membuat penyambungan ataupun pendawaian elektrik secara haram.

"Jadi, kami berharap peniaga yang menjalankan perniagaan mengikut peraturan telah ditetapkan. supaya permit ataupun lesen mereka ditarik.

"Sekiranya, ikut arahan. Insya-Allah, kita akan berniaga dengan tenang,namun jikalau tidak ikut arahan,maka sentiasa kita akan rasa bimbang," katanya.

Tambah beliau, MBAS akan meletakkan penguatkuasa untuk melakukan kerja pemantauan di semua tapak bazar di kawasan berkenaan demi memastikan syarat ditetapkan dipatuhi peniaga.

"Jadi, saya mohon jikalau dapat tapak, maka ikutlah syarat yang ditetapkan tersebut," katanya.

Tambah Mohd Yusri, MBAS akan memberi penerangan tentang perlaksanaan bazar Ramadan kepada peniaga terlibat demi memastikan syarat ditetapkan dipatuhi.

Sebelum itu, MBAS akan menyediakan 1,446 petak bagi tapak makanan dan minuman serta pakaian dan barang hiasan di bazar Ramadan di kawasan bandaraya Alor Setar.

Ia termasuklah 1,293 petak bagi tapak makanan dan minuman termasuk 'food truck' ditawarkan di 21 lokasi, manakala 136 petak di dua lokasi lagi melibatkan tapak pakaian dan barang hiasan.

Antara lokasi terlibat, Stadium Darul Aman, Peremba, Simpang Kuala, Pokok Sena, Simpang Empat, Medan Selera Darul Aman, tapak penjaja Jalan Putra, Kota Sarang Semut, Medan Selera Teratai, Tandop dan Taman Bersatu.