2 sindiket tempatan tumpas, dadah RM3.88 juta dirampas

Dua sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah tumpas dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dan Melaka.
Dua sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah tumpas dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dan Melaka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan dua sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah dengan rampasan bernilai RM3.88 juta dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dan Melaka, pada Rabu.

Kejayaan itu dikongsikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di laman Facebook rasminya.

Menurut kenyataan itu, dua operasi berasingan telah dilaksanakan JSJN Bukit Aman dan berjaya menahan lapan lelaki serta tiga wanita tempatan berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun.

"Dalam operasi itu, JSJN Bukit Aman berjaya merampas dadah syabu anggaran berat 83.72 kilogram (kg), ekstasi (16.63kg), ketamin (5.4 gram) serta ephederine (3.1kg).

"Anggaran nilai rampasan dadah berjumlah RM3.88 juta," katanya pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, turut dirampas adalah lima kereta, enam motosikal, barang kemas serta wang tunai.

Ujarnya, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 496,134 orang penagih dadah.

Katanya lagi, dengan tangkapan dan rampasan itu, JSJN Bukit Aman berjaya menumpaskan dua sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan akan diteruskan bagi mengesan baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan.

"JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Maklumat ini boleh disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya.