Aset sindiket dadah RM154.04 juta disita

Tindakan tegas PDRM berjaya menumpaskan sindiket dadah menerusi pelbagai siri serbuan.
Tindakan tegas PDRM berjaya menumpaskan sindiket dadah menerusi pelbagai siri serbuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dengan menyita pelbagai aset bernilai RM154.04 juta bagi tempoh bermula 3 Januari tahun lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM berkata, statistik sehingga 12 April ini merekodkan sebanyak RM28 juta nilai harta telah dilucuthak.

Menurutnya, sebanyak 346 sindiket yang melibatkan 1,055 orang berjaya diberkas selain membongkar 19 makmal dadah serta tangkapan 10 ahli kimia.

"Antara yang tumpas ialah sindiket terbesar di Sabah yang terlibat secara aktif dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ekstasi serta minuman jus mengandungi kandungan dadah di pusat–pusat hiburan," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi JSJN pada Jumaat.

Dalam tempoh itu juga, JSJN berkata, seramai 217,553 orang ditahan di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983 manakala 1,380 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah- Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Tambahnya, JSJN telah merampas 26 tan pelbagai jenis dadah dan 5,175 liter pelbagai jenis cecair dadah.

"JSJN juga turut merampas 135 tan daun ketum, 72,584 liter air ketum serta 189 pokok ganja yang membawa nilai rampasan adalah sebanyak RM 666.1 juta," katanya.

PDRM berjaya menumpaskan sindiket dadah menerusi pelbagai siri serbuan.
PDRM berjaya menumpaskan sindiket dadah menerusi pelbagai siri serbuan.

Tegas JSJN, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran penyalahgunaan dadah.

"Buktinya, seramai 1,049 orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

Antara kenderaan mewah yang dirampas dalam serbuan dadah, baru-baru ini.
Antara kenderaan mewah yang dirampas dalam serbuan dadah, baru-baru ini.

"Daripada jumlah itu, lima pegawai kanan dan empat anggota JSJN turut ditangkap serta disiasat di bawah Seksyen 3(1) ADB LLPK 1985 kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Tiga pegawai kanan tersebut telah dikenakan perintah sekatan dan dua lagi dibebaskan manakala seorang daripada empat anggota tersebut pula telah dikenakan perintah sekatan selama dua tahun dan tiga lagi dibebaskan," jelasnya.

Ujarnya, laporan penuh bagi pegawai kanan dan anggota yang dibebaskan telah dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan anda, sila salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-2087222.