GST: 'Jika kerajaan kata 'okey', kita akan 'on'

Zazuli (dua dari kiri) menyampaikan bantuan banjir kepada masyarakat Siam ketika Program Khidmat Bakti Bersama Masyarakat Siam, Tumpat bagi Tahun 2023 pada Khamis.
Zazuli (dua dari kiri) menyampaikan bantuan banjir kepada masyarakat Siam ketika Program Khidmat Bakti Bersama Masyarakat Siam, Tumpat bagi Tahun 2023 pada Khamis.
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersedia jika kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarahnya, Datuk Zazuli Johan berkata, kadar cukai yang ditetapkan bergantung kepada keputusan kerajaan.

"Jika kerajaan kata 'okey', kita akan 'on' tetapi terpulang kepada kerajaan menetapkan jumlah bayaran GST," katanya selepas menghadiri Program Khidmat Bakti Bersama Masyarakat Siam, Tumpat bagi Tahun 2023 pada Khamis.

Selain itu, Zazuli bersetuju dakwaan bahawa pemansuhan GST oleh kerajaan terdahulu menyebabkan kegiatan ekonomi gelap dan bawah tanah atau 'over shadow' kembali aktif.

"Tetapi terpulang kepada kerajaan sama ada akan melaksanakan semula GST atau sebaliknya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara aktiviti gelap untuk mengelak membayar cukai ialah menipu taksiran cukai dan menjalankan perniagaan tidak sah.

Beliau mencadangkan, GST dilaksanakan semula selain rundingan bersama syarikat berkaitan bagi mengekang aktiviti 'over shadow' itu.

Zazuli sebelum itu diiringi Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long menyampaikan bantuan beras, kain batik dan keperluan harian kepada 300 masyarakat Siam yang terjejas banjir baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Zazuli berkata, pungutan hasil menerusi kutipan cukai di Kelantan pada tahun lalu sebanyak RM204.91 juta, manakala di peringkat negara sebanyak RM41 bilion.

"Bagaimanapun jumlah itu meningkat menjadi RM53 bilion pada 2022.

"Justeru, orang ramai digesa membantu kastam memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras dan mercun," katanya.