Beri tumpuan tiga aspek pulihkan ekonomi, GST bukan pilihan

Mohd Azwardi (gambar) berpendapat kerajaan seharusnya mula meneroka sumber tenaga baharu.
Mohd Azwardi (gambar) berpendapat kerajaan seharusnya mula meneroka sumber tenaga baharu.
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, untuk menambah pendapatan negara, kerajaan seharusnya mula meneroka sumber tenaga baharu (RE) selain menilai semula dasar sekuriti makanan negara.

Menurutnya, langkah lain termasuk memperkenalkan cukai tambahan kepada golongan kaya, selain tidak mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Rakyat mahukan ekonomi negara lebih makmur menyamai awal tahun 90-an. Pendekatan Perdana Menteri perlu lebih kreatif dan inovatif dalam membangunkan negara.

“Mengembalikan GST ketika ini umpama menambah garam pada luka rakyat. Sudahlah kenaikan kos sara hidup tidak seiring dengan pendapatan rakyat, oleh itu mengurus pentadbiran tanpa idea-idea baharu bukan satu pilihan untuk beliau,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, sumber pendapatan negara harus lebih pelbagai dan mampan selain mengurangkan kebergantungan ekonomi terhadap harga minyak dunia.

“Apabila harga minyak dunia naik, kita akan dapat pendapatan lebih, namun apabila harga minyak turun, kita akan hilang pendapatan. Ini bermakna bajet yang disediakan amat bergantung kepada harga minyak semasa.

“Harga minyak pula terkait rapat pergerakan nilai mata wang negara. Pergerakan ringgit ditentukan oleh bagaimana anggota-anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC) mengawal pengeluaran minyak.

Artikel Berkaitan:

"Apabila pengeluaran kurang, secara tidak langsung harga minyak naik, ringgit juga akan naik atau sebaliknya. Keadaan ini sangat tidak sihat kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Menurutnya, kebergantungan itu dapat dikurangkan sekiranya negara meneroka sumber tenaga baharu (RE).

“Kajian Kumpulan Strategik EMOG berkaitan tenaga, maritim, minyak dan gas mendapati negara mampu meneroka sumber tenaga baharu secara berterusan seperti penggunaan biomas pada tenaga (BTE) melalui sisa biomas kelapa sawit dan kayu-kayan.

“Ini kerana negara mempunyai 100 juta tan bahan buangan industri kelapa sawit yang tidak digunakan secara berkesan setiap tahun.

"Sekiranya diproses menghasilkan 5,000 megawatt (mw) tenaga baharu hijau yang bertahan selama 21 tahun bagi kegunaan domestik dan komersial,” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya penghasilan tenaga baharu hijau diperkasakan, tidak mustahil negara bakal muncul sebagai pengeksport tenaga setanding Kanada, Perancis dan Jerman, sekali gus bukan sahaja menambahkan pendapatan malah menstabilkan permintaan untuk ringgit Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, kebergantungan kepada pengimportan produk pertanian juga perlu dikurangkan segera dengan meneliti semula dasar sekuriti makanan.

“Saban tahun import makanan negara meningkat. Kadar import defisit bagi makanan terus meningkat, iaitu RM21.6 bilion pada 2020 kepada RM28.7 bilion (2021).

“Pengeluar utama produk pertanian dunia, iaitu China pun bimbang tentang tahap sekuriti makanan mereka pada masa depan.

"Sudah tentu kita perlu lebih bimbang lagi. Sesuatu perlu dilakukan sebelum keadaan semakin parah,” katanya.

Tambah Mohd Azwardi, antara yang boleh dilakukan ialah dengan mengenal pasti sayuran yang boleh ditanam dalam negara seperti terung, kacang panjang dan cili dengan mewujudkan ladang khas.

“Perkenalkan sumber makanan lain seperti arnab setanding ayam dan daging lembu kerana arnab cepat membiak tempoh singkat.

"Wujudkan juga pemborong kecil untuk lancarkan penghantaran produk menerusi sistem seperti pasaran barang segar dalam talian atau perkukuhkan semula konsep Kedai Satu Malaysia,” katanya lagi.

Tegasnya, langkah mengembalikan GST pada ketika ekonomi belum pulih bukan pilihan yang sesuai kerana hanya membebankan golongan miskin.

“Harga barangan pasti naik mencanak dan tidak akan kembali pada harga lama walaupun adanya langkah kawalan atau subsidi bersasar.

"Oleh itu, kerajaan disaran perkenalkan cukai tambahan kepada golongan kaya. Contohnya, cukai ke atas keuntungan modal terakru,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai pemimpin berjiwa rakyat, Anwar harus mendengar denyut nadi rakyat kerana rakyat meletakkan harapan tinggi pada kepimpinan beliau dalam mendepani cabaran ekonomi global dan domestik, kejatuhan nilai mata wang dan kos sara hidup yang semakin tidak terkawal.

“Beliau mempunyai tempoh masa yang panjang untuk buktikan beliau seorang yang bervisi dan bukan hanya bersandarkan populariti semata-mata.

“Sebagai pelopor reformasi negara dan dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia 1996, rakyat menjangkakan prestasi terbaik daripada beliau dan mahu melihat sebuah kerajaan yang telus dan berintegriti,” katanya.