[VIDEO] Kerajaan perlu masa stabilkan bekalan telur - Mat Sabu

Mohamad (tengah) menyampaikan sumbangan kepada warga MAFS Kelantan pada Majlis Penyerahan Kit Bantuan Bencana Banjir di Pejabat FAMA, Kota Bharu pada Khamis.
Mohamad (tengah) menyampaikan sumbangan kepada warga MAFS Kelantan pada Majlis Penyerahan Kit Bantuan Bencana Banjir di Pejabat FAMA, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memerlukan masa untuk menstabilkan bekalan telur di pasaran negara ini bagi memenuhi permintaan pengguna.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, keperluan makanan memerlukan masa untuk dipulihkan.

"Dalam soal ini, kerajaan tidak boleh menentukan tempoh masa kerana ia melibatkan soal makanan. Kalau banjir kita boleh tahu jumlah kerosakan?.

"Penyakit ayam hendak datang pun kita tidak boleh nak tahu," katanya semasa sidang akhbar Majlis Penyerahan Kit Bantuan Bencana Banjir kepada warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Kelantan di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, bagaimanapun kerajaan sedang berusaha untuk menstabilkan bekalan tersebut.

Ujarnya, antara usaha diambil kerajaan ialah dengan membawa masuk telur import bagi menampung keperluan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Mohamad mendedahkan sektor pertanian dan agromakanan di negara ini mengalami kerugian RM111.95 juta akibat Monsun Timur Laut (MTL).

Katanya, berdasarkan laporan Pusat Pengurusan Bencana MAFS, ia turut menjejaskan 24,700 hektar kawasan pertanian.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 12,000 orang petani dan penternak serta pengusaha agromakanan seluruh negara terkesan dengan bencana alam sepanjang MTL.

"Bagi meringankan beban mereka yang terkesan, peruntukan RM1 juta disediakan melalui MAFS Prihatin," ujarnya.

Menurut beliau, bantuan tersebut merangkumi 6,700 kit sedia untuk dimasak, 3,000 kita sedia untuk dimakan dan 1,000 kit kebersihan.

Mohamad memberitahu, RM2.45 juta juga diperuntukkan melalui FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk disumbangkan kepada komuniti agromakanan.

"Ia meliputi sumbangan peralatan industri asas tani, jentera mekanisasi serta peralatan-peralatan sokongan bersesuaian.

"Kementerian juga menyumbang sejumlah RM1 juta melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berupa bantuan makanan dan ubat-ubatan ternakan," katanya.