2 pasangan pengasas kosmetik didakwa cederakan wanita

Nur Farhana (kiri) dan Anes Ayunie (tengah) ketika hadir di Mahkamah Majistret pada Khamis.
Nur Farhana (kiri) dan Anes Ayunie (tengah) ketika hadir di Mahkamah Majistret pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Dua pasang suami isteri yang juga pengasas produk kosmetik di negeri ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan mencederakan dua peniaga pada Julai tahun lalu.

Pengasas terbabit, Nur Farhana Ismail, 32, dan suaminya, Muhammad Hakimi Mohd Azmi, 33, serta Anes Ayunie Osman, 21, dan suaminya, Ahmad Weldan Zulkefli, 22.

Turut didakwa atas tuduhan sama adalah pekerja mereka, Muhammad Firdaus Alias, 21.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencederakan An Nur Amani Nazifa Anuar, 19, sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, tangan dan leher serta Mohamad Nurhisyam Afandi Mahadi, 30, yang mengalami cedera di tangan, kaki dan lutut sebelah kiri di hadapan sebuah kedai di Jalan Padang Garong di sini pada jam 3 pagi, 9 Julai 2022.

Muhammad Hakimi (kiri), Ahmad Weldan (dua dari kanan) dan Muhammad Firdaus (dua dari kiri) dibawa ke lokap selepas dituduh.
Muhammad Hakimi (kiri), Ahmad Weldan (dua dari kanan) dan Muhammad Firdaus (dua dari kiri) dibawa ke lokap selepas dituduh.

Pada pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding itu, Siti Edabayu menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 setiap seorang bagaimanapun Ahmad ‘Adha ‘Amir memohon supaya anak guamnya diberi jaminan yang rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan kesemua mereja membayar jamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Februari depan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, polis menahan dua wanita pengasas produk kosmetik bagi membantu siasatan kes pukul.