RUU Keselamatan Siber akan digubal segera - PM

Anwar. - Foto Bernama
Anwar. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Rang Undang-undang Keselamatan Siber akan digubal segera untuk memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara pada Selasa lalu.

Menurutnya, RUU itu akan memberi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) punca kuasa yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber.

Ia turut menambah baik keberkesanan fungsi agensi itu sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS).

"Malaysia harus menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera kerajaan dalam menangani ancaman keselamatan siber," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Anwar, keselamatan siber bukan sahaja menjadi keutamaan di dalam negara tetapi turut mencakupi hal ehwal yang lebih besar di peringkat global.

"Saya menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan negara termasuk di dalam domain digital dan ekosistem siber," katanya.