Bursa Malaysia, DOSM meterai MoU kongsi data makroekonomi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BURSA Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) perkongsian data makroekonomi bagi mengenal pasti trend utama serta maklumat untuk pembangunan pasaran modal.

Di bawah MoU itu, Bursa Malaysia akan berkongsi data pasaran saham seperti urus niaga harian serta transaksi bulanan saham, ringkasan indeks dan sektor mengikut pasaran, penyertaan pasaran termasuk laporan tahunan syarikat senaraian awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kerjasama itu akan membolehkan pihak-pihak berkenaan mengusahakan objektif tertentu dan mewujudkan satu sumber data bagi membuat keputusan yang lebih baik.

"Pada masa ini, bergantung kepada siapa yang anda tanya di pasaran, anda akan mendapat pandangan yang berbeza.

"Adalah menjadi aspirasi kami bahawa sesiapa sahaja yang melihat data ini hanya akan melihat satu angka, satu set data kerana jika anda mempunyai dua set data berbeza, akan akan menerima ketidakcekapan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU itu hari ini.

Antara lain, data yang dikongsi dengan DOSM akan membolehkan jabatan itu mendapat gambaran keseluruhan tingkah laku pelabur, selain membenarkan pembuatan keputusan strategik secara global atau makro untuk ekonomi Malaysia, yang bukan sahaja akan mengukuhkan pasaran modal tetapi juga membantu dalam pembinaan negara.

Beliau juga memberi jaminan perjanjian ini tidak akan melibatkan data perdagangan peserta individu dan ia tidak akan didedahkan kepada umum.

Dalam pada itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, MoU tersebut merupakan satu inisiatif bagi memperkukuhkan tadbir urus penyampaian perkhidmatan perangkaan berskala besar dan meluas.

Artikel Berkaitan:

DOSM akan membekalkan maklumat berkaitan perakaunan negara, penunjuk ekonomi, inflasi, perdagangan, imbangan pembayaran, buruh, pendapatan serta perbelanjaan isi rumah, alam sekitar dan sosial.

"Data Bursa Malaysia penting kerana ia menyumbang kepada Indeks Pelopor, yang merupakan alat unjuran yang dipakai untuk meramal peningkatan ekonomi dan kemerosotan secara purata iaitu empat hingga enam bulan ke hadapan.

"Indeks ini diterbitkan setiap bulan dan digunakan secara meluas oleh penganalisis ekonomi untuk membuat unjuran ekonomi masa depan," katanya. - Bernama