Menteri jawab isu pil gugur kandungan

A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan sebanyak lima kes kematian dilaporkan berlaku angkara pil gugur bayi yang dijual secara haram dan berleluasa di laman sosial.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat kes kematian melibatkan pengguna pil dilaporkan berlaku pada tahun 2015, manakala satu kes lagi dicatatkan pada tahun 2017.

“Empat kes kematian akibat pendarahan selepas bersalin, manakala satu lagi kes melibatkan amniotic fluid embolism (air ketuban masuk dalam salur darah). Kesemua kes melibatkan pemberian produk yang mengandungi misoprostol melalui intra-vagina,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Siasat di sini, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pil bunuh janin dijual kepada pelajar sekolah

Pil gugur kandungan, apa kata pakar?

Sindiket pil 'bunuh' janin

Katanya, selain itu, KKM turut merekodkan tiga kes lain yang diklasifikasikan sebagai mengancam nyawa wanita yang mengambil pil tersebut.

Tambah beliau, pada tahun lalu, KKM mengesan sebanyak 146 laman di internet yang menjual pil gugur janin.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mengelakkan aktiviti penjualan dikesan oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi, modus operandi yang digunakan bagi sindiket pil misoprostol adalah menggunakan medium internet seperti blogspot, media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp. Tidak ketinggalan platform-platform dalam talian seperti Lelong.com, 11street, Lazada, Shopee dan banyak lagi.

DR DZULKEFLY
DR DZULKEFLY

“Penghantaran pil misoprostol kepada pembeli pula dihantar terus menggunakan perkhidmatan pos dan kurier,” katanya.

Menurut Dzulkefly, sejak tahun 2017, sebanyak 10 serbuan telah berjaya dilakukan melibatkan penjualan misoprostol dengan 17 item telah dirampas bernilai RM85,513.

Katanya, kebanyakan ubat berkenaan diimport oleh penyeludup haram dari luar negara terutamanya India dan China.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data yang direkodkan dari awal tahun hingga 15 April lalu merekodkan sebanyak 18 laman yang menjual cytotec dikenal pasti dan disiasat.

Menurutnya, sebahagian besar akaun penjual cytotec yang disiasat adalah daripada Facebook dan blogspot.

“Senarai ini diserahkan kepada agensi yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan sekatan.

Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak 20 laman sosial yang dikesan menjual pil gugur telah disekat.