[VIDEO] Padi tenggelam banjir, petani rugi RM1.4 juta

Banjir buruk yang melanda Pasir Puteh pada 18 Disember lalu menyebabkan petani di Mukim Merkang dan Nara mengalami kerugian RM1.4 juta nilai hasil tuaian padi.
Banjir buruk yang melanda Pasir Puteh pada 18 Disember lalu menyebabkan petani di Mukim Merkang dan Nara mengalami kerugian RM1.4 juta nilai hasil tuaian padi.
A
A
A

PASIR PUTEH - Banjir buruk yang melanda jajahan ini pada 18 Disember lalu menyebabkan petani di Mukim Merkang dan Nara di sini mengalami kerugian RM1.4 juta nilai hasil tuaian padi.

Kemusnahan itu melibatkan tanaman padi seluas hampir 280 hektar yang diusahakan oleh 140 petani di kedua-dua kawasan berkenaan.

Wakil petani, Zulkifli Mat Nor berkata, banjir yang melanda baru-baru ini disifatkan luar biasa apabila limpahan air terlalu banyak sehingga kawasan petak sawah ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter sekali gus hasil tanaman itu gagal diselamatkan.

"Saya dan petani-petani lain sepatutnya menuai hasil pada hujung Disember lalu.

"Tetapi disebabkan bencana tersebut semua padi kami rosak dan langsung tidak dapat dituai," katanya ketika sidang akhbar ketika ditemui di Kampung Merkang di sini pada Rabu.

Menurut Zulkifli, pada masa sama mereka berdepan dengan hutang modal dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang digunakan untuk proses awal tanaman.

Padi rosak akibat ditenggelami banjir baru-baru ini.
Padi rosak akibat ditenggelami banjir baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi PPK Cherang Rotan, A Rahim Yunus berkata, padi di kawasan tersebut telah ditenggelami banjir selama empat hari.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan petani berputih mata sekali gus menanggung kerugian yang agak besar.

"Saya berharap pihak kerajaan dapat mengambil perhatian tentang permasalahan ini dan memberi bantuan dengan segera.

"Ini kerana mereka (petani) akan memulakan musim tanaman baharu tidak lama lagi," katanya.

Rahim berkata, petani bukan sahaja perlu memikirkan modal untuk memulakan tanaman tetapi turut berdepan dengan kenaikan harga input pertanian.

Katanya, jika sebelum ini racun empat liter bernilai RM60 tetapi sekarang ia telah mencecah RM100.