Suspek utama kes letupan direman tujuh hari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kejadian letupan melibatkan seorang tukang masak maut di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kedua-dua suspek diberkas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Serbuan dijalankan kira-kira jam 7.20 petang di sebuah taman perumahan, Serdang, Kedah

"Perintah tahanan reman telah dipohon dan pihak Majistret telah membenarkan tahanan reman terhadap pasangan ini selama tujuh hari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya percaya dengan tangkapan itu sekali gus membantu polis dalam siasatan yang dijalankan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes ini.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati," jelasnya.

Sebelum itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah membawa kedua-dua suspek ke Mahkamah Majistret Ampang bagi mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

Setakat ini kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan rasa cemburu suspek lelaki terhadap mangsa.

Pada 29 Disember lalu, media melaporkan mangsa berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.

Siasatan awal mendapati mangsa telah melihat satu bungkusan berada di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dan memegangnya sebelum meletup.

Letupan itu mengakibatkan mangsa parah di badan dan tangan sebelum dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Ampang dan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan.