RM78 juta naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hassan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hassan
A
A
A
PASIR GUDANG - Kerja-kerja menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang yang melibatkan kos RM78 juta akan disambung semula pada tahun ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, projek berkenaan akan dilakukan dari Persimpangan Bandar Seri Alam dan Taman Rinting ke Pasir Gudang yang melibatkan jarak 5.5 kilometer.

"Skop kerja-kerja naik taraf jalan berkenaan daripada empat lorong kepada enam lorong melibatkan kedua-dua hala.



"Tempoh masa kerja-kerja menaik taraf itu dari 25 Oktober 2022 hingga 24 Oktober 2025 akan mengambil masa selama 36 bulan telah bermula dengan kerajaan Persekutuan memperuntukkan kos sebanyak RM78 juta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.



Sinar Harian menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat pada 22 Disember lalu, menyiarkan keluhan penduduk di Pasir Gudang berkenaan lebuh raya itu dianggap satu perangkap maut kerana keadaan jalan rosak teruk dan sering mengakibatkan kemalangan.

Ini kerana banyak kemalangan maut berlaku di lebuh raya berkenaan selain pengguna jalan raya terpaksa berdepan masalah banjir kilat.

Difahamkan sebelum ini, kerja-kerja menaik taraf lebuh raya berkenaan terhenti kerana kerajaan Persekutuan tidak mempunyai peruntukan.

Hassan berkata, berita gembira tersebut dimaklumkan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Fazli Mohd Salleh kepada beliau pada pagi Selasa.

"Sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Fazli, Exco Kerjayaraya Negeri Johor, Menteri Besar Johor dan kerajaan Johor yang telah memberi perhatian tentang isu Lebuhraya Pasir Gudang.
Artikel Berkaitan:


"Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan dana RM78 juta itu untuk projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang," katanya.