UMNO perlu bersama Pas untuk bangkit - Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berpandangan UMNO perlu kembali kepada Islam selain bersama dengan Pas sebagai rakan untuk bangkit semula susulan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu, UMNO terkena musibah pada PRU14 namun tidak mati, justeru ia adalah pengajaran dan jalan taubat yang perlu dilalui.

Ujarnya lagi, UMNO telah menunjukkan tekad untuk berubah melalui pindaan dalam perlembagaan parti yang meletakkan Islam di tempat utama.

"Malangnya akibat perpecahan dalaman, kekalutan perebutan kuasa dalam kerajaan selepas PRU14 serta persaingan dengan parti Bersatu telah memalapkan usaha-usaha untuk meneguhkan semangat Islam dalam UMNO.

"Adakah itu hipokrit? ALLAH yang maha tahu. Saya tidak akan menghukum.

"Bagi saya, pilihan UMNO untuk bersama Pakatan Harapan (PH) adalah tindakan terdesak akibat hilangnya keyakinan terhadap PN (Perikatan Nasional), bukan terhadap Islam," dakwanya di Facebook pada Isnin.

Tambah Nik Mohamad Abduh, UMNO juga perlu mendampingi rakan yang baik iaitu Pas untuk memperbaiki diri.

"Apabila anda bertaubat dan ingin membaiki diri, anda perlu mendampingi rakan yang baik. Pesakit mesti bersama doktor.

Artikel Berkaitan:

"Jika hanya bersama pesakit sepertinya, mereka akan saling mengeluh dan putus asa. Jika bersama bomoh serba tahu, dia akan diberi penawar beracun dan mati," ujarnya.

Justeru, beliau berkata, UMNO mesti bersama Pas kerana parti tersebut adalah lebih mendahului parti lain dalam komitmennya untuk Islam.

Jelas Nik Mohamad Abduh, salah faham antara UMNO dan Pas boleh diselesaikan.

Beliau juga konsisten untuk mengajak UMNO bersama dengan Pas dalam membina negara.

"UMNO masih dua kumpulan dan kumpulan mana yang akan memimpin nanti, saya konsisten mengajak mereka untuk bersama Pas membina negara. Antara pantang saya, masuk campur urusan dalaman orang.

"Segala salah faham boleh diselesaikan. Kemenangan besar bukan dengan membunuh, tetapi dicapai dengan perdamaian. Bukankah begitu 'fathu Makkah'?" jelasnya.

Sementara itu, beliau mendakwa dua faktor utama menyebabkan Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU15 iaitu jenama BN yang terlalu lama, kusam dan tiada sentuhan pembaharuan selain perpecahan dalaman yang tidak diubati.

"Berbanding PN dan PH yang lebih muda, baru dan menarik, ia lebih kuat untuk menarik pengundi baru. Tua adalah kejatuhan.

"Perpecahan dalaman yang tidak diubati. Apabila anda masuk gelanggang dengan hati yang terpecah-pecah, anda tidak akan menang. Perpecahan adalah kekalahan," dakwanya.

Dakwa beliau, dengan dua kelemahan itu BN tidak mempunyai kekuatan untuk menangkis segala serangan yang dihalakan ke atas parti itu semasa kempen PRU15 lepas.