Akta Finas 1981 perlu digubal semula

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SIAPA sangka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) iaitu agensi kerajaan pusat bagi industri perfileman negara sudah berusia 40 tahun.

Akta Finas 1981 atau Akta 244 telah diluluskan oleh Parlimen pada 12 Februari 1981 dan diwartakan oleh Yang di-Pertuan Agong seminggu kemudian pada 19 Februari yang membolehkan Finas dibentuk sebagai sebuah agensi kerajaan pada 26 Jun pada tahun yang sama.

Pejabat pertama Finas adalah di dalam sebuah rumah banglo zaman British di Ampang Hilir yang kini merupakan sebuah sekolah tadika; dan pejabat kedua juga bertempat di sebuah banglo zaman Inggeris di Jalan Ampang yang kini sudah roboh dengan tapaknya berdiri sebuah bangunan tinggi.

Pada tahun 1985, Finas telah membeli Studio Merdeka di Hulu Kelang bersebelahan dengan Zoo Negara dengan harga RM1.5 juta yang kini menjadi pusat pentadbirannya serta kemudian, turut mengambil alih pejabat dan studio Filem Negara Malaysia (FNM) di Jalan Utara, Petaling Jaya.

Kalau menurut cara fizikalnya, Finas mempunyai prasarana dalam bentuk binaan dan bangunan, yang amat besar berbanding dengan banyak syarikat perfileman di Hollywood.

Tetapi malangnya, berbeza dengan Hollywood, yang mempunyai falsafahnya sendiri, Finas tidak pentingkan falsafah.

Oleh yang demikian filem dan rancangan lain yang mereka terbit dan sokong dengan memberi dana, tidak menunjukkan yang ia tahu akan peranan dan pengaruh filem dalam pembentukan jati diri rakyat berbilang bangsa dan juga pemikirannya dengan mengambil kira pelbagai segi dan bidang yang ada di dalam bidang perfileman dan drama televisyen yang semuanya mencerminkan apa yang disanjung dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

Studio-studio filem

Artikel Berkaitan:

Ini yang amat malangnya tentang perusahaan filem kita sejak tiadanya Studio Merdeka dan sebelum ini kedua-dua buah studio besar di Singapura iaitu adik-beradik Shaw Brothers - Runme Shaw dan Run Run Shaw, yang mempunyai Malay Film Productions dan Cathay-Keris yang dibuka oleh Loke Wan Tho dan Ho Ah Loke.

Yang menghairankan, kedua-dua studio besar di Singapura yang dibuka dan ditadbir serta dikembang oleh empat orang usahawan Cina, dua yang datang dari Shanghai di negara China dan dua lagi anak kelahiran Tanah Melayu dari Kuala Lumpur, berjaya membangunkan sebuah perusahaan filem dari ‘kosong’.

Ini bermakna mereka tidak mempunyai sebarang sokongan dari kerajaan Singapura mahupun Tanah Melayu ketika itu dan mereka yang harus buka pawagam dan menerbitkan majalah filem sendiri untuk mempromosi filem-filem yang diterbitkan mereka yang mana mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu bahkan daripada bukan Melayu sendiri.

Namun sekarang ini filem-filem Melayu yang diterbitkan hanya untuk penonton Melayu sahaja; dan tidak ada sebarang usaha untuk menarik penonton di kalangan bukan Melayu.

Seorang pengarah filem tahun 1970-an dahulu iaitu Yassin Salleh pernah berkata dalam sebuah forum di FNM tidak lama dahulu bahawa beliau dan dua orang karyawan telah berjumpa dengan Menteri Pembangunan Bandar dengan membawa cadangan untuk kerajaan tubuhkan sebuah perbadanan perfileman.

Cetusan idea ini diambil alih oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mana telah melantik seorang pegawai untuk mengubal satu akta yang akhirnya dipanggil Akta Finas atau Akta 244 seperti yang kita tahu sekarang.

Dan kebetulan pula, saya baharu sahaja mula pengajian dalam bidang pengarahan filem di peringkat sarjana di Columbia University di bandar raya New York; dan saya ada menulis sepucuk surat kepada beliau untuk bertanya tentang perkembangan cadangan untuk bangunkan sebuah perusahaan filem di dalam negara.

Saya dapat surat jawapan daripada beliau yang dihantar ke asrama saya iaitu Harmony Hall yang terletak berhampiran dengan kampus tetapi isi kandungannya amat menghampakan sebab beliau hanya beritahu bahawa kerajaan sedang mengubal satu akta.

Perunding

Yang saya mahukan ialah agar kerajaan melantik saya sebagai pakar perunding untuk bantu membentuk dan menggubalkan akta tersebut, tetapi hal ini tidak berlaku.

Akhirnya Akta Finas atau Akta 244 yang dilulus oleh Parlimen pada 12 Februari 1981 menghampakan.

Dan seperti apa yang saya telah cakap tadi, Akta ini langsung mengetepikan saranan dan cadangan dan data dari penyelidikan dan pendidikan dari sarjana bidang perfileman sehinggakan akta setebal 38 muka surat itu amat mengecewa dan menghampakan.

Bayangkan, kalau empat usahawan Cina dari Shanghai dan Kuala Lumpur dapat bangunkan studio filem mereka dan menerbit filem yang sehingga kini kita tahu dan terasa kesannya, dengan mengguna sumber kewangan mereka yang terhad, masakan sebuah kerajaan yang mempunyai segala kemudahan dan punca kewangan yang besar masih gagal membangunkan sebuah perusahaan filem Malaysia yang baharu dan juga sebuah Senima Baru Malaysia.

Saya tertarik dengan bab ‘Fungsi’ dalam akta ini yang merupakan bab pertama, tetapi malangnya ia terletak pada muka surat ke-12 sahaja dan apa yang ada dalam bab ini menghampakan.

Seperti yang saya katakan awal tadi, Akta Finas 1981 tidak mempunyai falsafah dan ia tidak mengambil kira dan sokong jiwa dan semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara yang kuat dengan saranan dan hujahan tersurat dan tersirat.

Akta ini juga gagal untuk mengambil kira bahawa untuk memajukan sesebuah perusahaan filem, ia bukan yang dapat dan boleh dibuat dengan tersendiri sebab bidang ini berkaitan rapat dengan banyak bidang lain yang memerlukan ilmu dan kepakaran tersendiri seperti psikologi, sejarah, antropologi, sastera, ekonomi dan lain-lain.

Pusat propaganda

Dan saya tidak mahu sentuh bagaimana Hollywood itu sendiri bukan semata-mata pusat hiburan paling penting di Amerika dan Barat, tetapi lebih dari itu ia adalah pusat propaganda kebudayaan dan kesenian, yang akhirnya berjaya memaksa orang bukan Amerika dan bukan Barat untuk menyanjungi karya yang mereka terbit dan mempunyai unsur propaganda.

Akhirnya untuk pendekkan ungkapan dan analisa saya, saya pasti ramai orang dalam bidang perfileman dan lain-lain seperti yang disebut di atas mahu tahu apakah Finas akan melalui zaman yang sama pada 40 tahun sebelum ini, atau apakah ia akan belajar dari segala kesilapan yang mereka telah buat, agar kerajaan Pusat sendiri dan pemikir budaya, sastera, bahasa, agama, pakar ekonomi dan yang ada dalam kumpulan pemikir serta pendesak dapat menuntut agar Finas digubal semula.

Tindakan pertama yang perlu dan wajib dilakukan ialah dengan Akta Finas 1981 itu ditolak ke tepi dan sebuah akta baharu perlu diwujudkan, untuk menjadi punca yang boleh menyokong dan menjunjung Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara untuk membangunkan perusahaan filem Malaysia supaya akhirnya dan dalam masa terdekat serta singkat dapat menjadi pusat perusahaan paling penting di rantau ini dan di seluruh dunia untuk mengalihkan pandangan penonton di Nusantara dan dunia Islam kepada karya sendiri.

Ini sebenarnya adalah yang sepatutnya terkandung di dalam Akta Finas 1981 dulu tetapi tidak berlaku, sebab yang menggubal akta itu tidak mengambil kira banyak perkara termasuk dari segi bidang untuk dijadikan pengaruh yang ada dalam akta tersebut.

Nota Kaki:

Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman dengan sendiri telah pergi ke Kanada untuk mendapat bantuan daripada pakar mereka untuk membangunkan stesen televisyen kita.

Tetapi untuk membangunkan sebuah perusahaan filem, tiada sesiapa yang teragak untuk pergi ke Hollywood atau mendapatkan mereka dan pakar dalam bidang perfileman yang kita ada untuk membuat penyelidikan menyeluruh sebelum Akta Finas itu digubal.

* Mansor Puteh merupakan seorang pengarah, pengkritik filem serta budaya