Perak bersedia jadi peneraju industri automotif negara

Saarani
Saarani
A
A
A

TAIPING - Perak telah bersedia menjadi peneraju industri automotif negara dengan giat menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan Proton City, Tanjung Malim.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah proaktif memajukan kawasan itu telah dilakukan bagi menampung kemasukan pekerja berikutan Proton akan memindahkan keseluruhan operasinya dari Shah Alam ke daerah itu pada

2027.

"Kita ambil berat perkara ini setelah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melawat China dan ada komitmen daripada Proton Geely untuk menambah pelaburan di Tanjung Malim.

"Sekarang ada lebih 3,000 pekerjanya berpindah dan menjelang 2027, dianggarkan 10,000 pekerja akan berpindah termasuk ahli keluarganya. Kita jangka 50,000 orang akan menghuni kawasan Proton City.

"Jadi, kita kena buat persiapan segera dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini dengan menyediakan kawasan perumahan baharu serta pembinaan lebih banyak sekolah menengah dan rendah berikutan sekolah yang ada kini tidak boleh menampung pelajar dalam tempoh itu," katanya pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak di Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Anwar bahawa Malaysia berpotensi menjadi industri automatif serantau pada pelancaran model baharu Proton X90 di ibu negara Ahad lalu.

Dalam pada itu, Saarani berterima kasih kepada Anwar yang turut membantu melancarkan usaha kerajaan negeri menjadikan Tanjung Malim sebagai pusat automatif utama.

"Apabila ribuan orang datang, Majlis Daerah Tanjung Malim perlu melihat keperluan dalam bidang tanggungjawab mereka agar perkhidmatan yang diberikan setaraf dengan bandar Toyota di Jepun.

"Akan ada banyak jabatan kerajaan yang terlibat kerana kita melihat perkara ini hendaklah dibuat segera dan ia perlu diselaraskan agar pembangunan kawasan itu lebih teratur," katanya.

Media melaporkan Malaysia memperoleh RM32.5 bilion pelaburan membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hasil lawatan Perdana Menteri ke China.

Jumlah pelaburan itu merangkumi dua syarikat China menerusi syarikat automotif, Geely untuk kenderaan elektrik (EV) dan DC-Sciences Co Ltd (DCS) melibatkan pusat data.