Isu salah laku: Terdapat agensi kerajaan abai laporan SPRM

Azam
Azam
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat beberapa agensi kerajaan yang masih ‘mengunci mulut’ dan tidak memberikan kerjasama berhubung laporan salah laku kakitangan mereka yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Menurut beliau, sehingga kini pihaknya masih menunggu perkembangan sekurang-kurangnya 500 laporan melibatkan agensi-agensi berkenaan yang mana ada di antaranya telah dikemukakan semenjak 12 tahun lalu.

Ujar Azam, berdasarkan statistik yang diterima, antara agensi kerajaan yang mendapat aduan mengenai salah laku paling banyak ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjumlah sebanyak 125 kes diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ).

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah laporan yang banyak melibatkan pihak polis bukan satu perkara yang menghairankan kerana badan penguat kuasa itu mempunyai jumlah kakitangan yang ramai.

Jelasnya, selain agensi penguatkuasaan, pihaknya turut menerima kes membabitkan institusi mahkamah, Pejabat Perdana Menteri (PMO), pihak berkuasa agama, hospital, jabatan kesihatan dan universiti.

“Siasatan kami akan lebih tertumpu kepada isu rasuah terlebih dahulu, sekiranya kami menemui unsur-unsur salah laku yang lain, adalah menjadi satu kewajipan untuk melaporkannya kepada Ketua Jabatan.

"Kemudian, ketua jabatan akan melaporkan semula kepada kami dan mengesahkannya.

“Malangnya, ramai daripada mereka (ketua jabatan) yang mengabaikan laporan yang dikemukakan oleh kami,” kata beliau memetik New Straits Times (NST) pada Selasa.

Azam menambah, adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap ketua jabatan di mana-mana agensi kerajaan untuk menyiasat sebarang isu dakwaan salah laku yang telah dikemukakan.

“Mereka kena ambil tindakan kerana ia adalah pekeliling wajib,” ujarnya.