Kafe, rumah rosak dilanda ribut

Keadaan di sekitar kafe yang dilanda ribut pada petang Sabtu.
Keadaan di sekitar kafe yang dilanda ribut pada petang Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Sebuah kafe taman di Kampung Jimah Baru di sini musnah hampir 50 peratus selepas kawasan berkenaan dilanda ribut dalam kejadian pada petang Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu memaksa seorang pekerja kafe itu yang merupakan warga Pakistan, Israr Hussin, 26, berlindung di sebuah kandang kuda berhampiran kafe tersebut.

Pemiliknya, Zulkafli Zakaria, 48, berkata, ketika kejadian beliau berada di Melaka untuk mengambil bekalan dedak makanan haiwan sebelum dimaklumkan oleh pekerjanya itu berhubung kejadian.

"Israr buat panggilan video tunjukkan keadaan lokasi yang mana sekitar 15 minit ribut beberapa pokok tumbang, atap kafe dan kandang kuda juga diterbangkan angin.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku dan ini kejadian pertama dalam tempoh setahun saya membuka kafe di sini," katanya yang turut memelihara kuda yang diusahakan sejak lapan tahun lalu di lokasi sama.

Dalam pada itu, beberapa rumah mengalami kerosakan teruk hingga tercabut bumbung akibat dilanda ribut di kampung sama.

Menurut mangsa, Muhammad Danish Haikal Khairul Shahdi, 18, kejadian ribut itu berlaku kira-kira setengah jam.

"Kebetulan waktu kejadian, tiada sesiapa di rumah dan saya baru balik beriadah di luar. Dalam tempoh setengah jam itu, tiba-tiba angin kencang hingga menyebabkan bumbung rumah terangkat dengan bunyi yang menakutkan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam keadaan kelam kabut itu, beberapa pokok besar turut patah dan tumbang malah terdapat beberapa rumah serta dewan di depan Sekolah Kebangsaan Kampung Jimah juga terjejas," katanya.

Katanya, kediamannya mengalami kerosakan bumbung selain garaj motosikal rosak akibat ditimpa dahan pokok tumbang.