246 pemandu mabuk ditahan di Petaling Jaya

Antara individu yang diperiksa dalam operasi alkohol di sekitar daerah Petaling Jaya sepanjang tempoh tahun ini.
Antara individu yang diperiksa dalam operasi alkohol di sekitar daerah Petaling Jaya sepanjang tempoh tahun ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 246 individu ditahan menerusi Op Alkohol di sini sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, statistik sejak Januari hingga Disember itu merekodkan 85 operasi membabitkan 9,741 individu yang diperiksa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu telah menahan 246 individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Daripada jumlah tangkapan itu, enam tangkapan adalah warga asing.

"Sehingga kini, seramai 194 individu telah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun," ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, polis juga dalam tindakan lanjut untuk proses pertuduhan baki individu yang ditahan.

Beliau berkata, biar pun banyak operasi dijalankan, IPD Petaling Jaya masih lagi mengesan terdapat pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

Tegasnya, polis mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas undang-undang akan diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di kawasan pentadbiran Petaling Jaya terjamin," jelasnya.