3 penunggang motosikal maut, 3 cedera dirempuh pemandu mabuk

Keadaan di lokasi kemalangan di Kilometer 19.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) pada Ahad.
Keadaan di lokasi kemalangan di Kilometer 19.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Tiga penunggang motosikal maut, manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh pemandu mabuk di bawah jejambat di Kilometer 19.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan kemalangan tersebut pada jam 6.50 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 5.59 pagi, seorang lelaki berusia 26 tahun memandu kereta jenis Honda City Hatchback dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cyberjaya.

"Setibanya di lokasi, kereta tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar enam penunggang motosikal berusia 19 hingga 37 yang sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamad Fakhrudin berkata, tiga penunggang motosikal disahkan maut di lokasi, manakala seorang parah dan dua lagi cedera menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

"Hasil ujian ke atas pemandu itu mendapati kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan, lelak tersebut ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan," katanya.