Bangsa Johor perlu hayati undang-undang tubuh negeri

No Image Caption
A
A
A

1. SEMENJAK tiga tahun lepas, terdapat banyak isu-isu hangat yang membabitkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor dan Perlembagaan Persekutuan.

2. Ramai yang memperkatakan dan memberi interpretasi sendiri mengenai Undang-undang Tubuh Negeri Johor tanpa mengetahui dengan mendalam apa yang terkandung di dalamnya.

3. Ini kerana mereka tidak mempunyai naskhah Undang-undang Tubuh Negeri Johor kerana ia teramat sukar untuk didapati di kedai-kedai buku untuk dibeli.

4. Hanya pegawai-pegawai kerajaan dan ADUN sahaja di antara mereka yang diberikan senaskhah setiap orang.

5. Jika mereka tidak ada naskhah Undang-undang Tubuh Negeri ini, bagaimanakah bangsa Johor hendak berdiskusi dengan bijak tentang isu yang berbangkit? Tahukah mereka mengenai hak-hak mereka? Adakah ia disengajakan supaya bangsa Johor hanya mendengar interpretasi dari pihak-pihak tertentu dan menganggapnya sahih tanpa usul periksa?

6. Mengikut kepada Ketua Pembangkang DUN, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam sidang akhbarnya, UMNO akan membuat pendekatan supaya seberapa ramai bangsa Johor mengenali Undang-undang Tubuh Negeri.

7. Dua tahun lalu iaitu pada 14 Februari 2017, pihak kami sudah pun menganjurkan program serupa itu di Kempas bertajuk “Negara dan Kenegaraan. Kenali Perlembagaan Anda” di mana suatu forum diadakan bersama Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz sebagai panel tunggalnya.

7. Di situ saya mencadangkan kepada kerajaan negeri, antaranya supaya menghadiahkan dan wajibkan setiap penerima rumah mampu milik Johor dengan senaskhah Undang-undang Tubuh Negeri bersama dengan penyerahan kunci rumah masing-masing untuk menggalakkan mereka supaya tahu tentang Undang-undang Tubuh Negeri Johor itu.

Artikel Berkaitan:

8. Saya juga mencadangkan ia menjadi mata pelajaran wajib seperti mana di sekolah-sekolah menengah di Amerika Syarikat.

9. Setelah mencari dan gagal untuk memperoleh Undang-undang Tubuh Negeri Johor di kedai-kedai buku tersohor mahupun yang kecil di serata bandar raya Johor Bahru, kami terpaksa usaha sendiri untuk menyediakan Undang-undang Tubuh Negeri Johor dan Perlembagaan Persekutuan untuk di beri sebagai hadiah atau cenderahati kepada ketua-ketua masyarakat Johor yang hadir dalam seminar tersebut.

10. Maka saya mencadangkan sekali ini pula kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri supaya mencetak sebanyak mungkin buku ini untuk dijual di kedai-kedai buku atau lebih baik diberi percuma kepada beberapa ramai bangsa Johor dan di sekolah-sekolah supaya mereka lebih celik tentang Undang-undang Tubuh Negeri berbanding dengan menelan sahaja apa yang diterjemahkan oleh mereka yang berkepentingan diri.

11. Setiap orang Islam berbangsa Johor harus ada senaskhah al-Quran dan Hadis untuk persiapan mereka di akhirat dan senaskhah Undang-undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan perundangan hidup kita di negara ini khususnya di Johor. Kita kena peka dengan hak kita sebagai Rakyat supaya tiada mana-mana pihak boleh mengambil kesempatan di atas kejahilan kita hanya semata-mata kerana taat setia sahaja.

*Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat ialah Bekas Adun Kempas