88 peratus murid muslim di Perak ikuti kelas KAFA

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Sebanyak 88 peratus iaitu 100,150 daripada 114,377 murid Muslim di sekolah kebangsaan (SK) di Perak menyertai sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif memastikan tiada murid tercicir daripada menyertai kelas KAFA.

Menurutnya, antara inisiatif tersebut termasuklah mewujudkan lima kelas KAFA tulen yang dilaksanakan di sekolah-sekolah kebangsaan yang terpilih iaitu SK Seri Selama, SK Ulu Slim, SK Ganda Teluk Intan, SK Dato’ Sagor Kampung Gajah dan SK Sungai Ramai Ayer Tawar.

"Kita juga mengiktiraf sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Sijil Rendah Agama Islam (SRAI) sebagai syarat utama permohonan kemasukan ke tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Negeri

"Kempen kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat juga dilakukan melalui pelbagai medium untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan KAFA kepada anak-anak," katanya ketika menjawab soalan lisan Sallehuddin Abdullah (Selinsing-PN) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah KAFA yang disalurkan melalui Peruntukan Khas YAB Menteri Besar dan Peruntukan Pelbagai Projek di Pejabat Daerah.

Katanya, pelbagai agensi lain turut menyalurkan bantuan tersebut seperti Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam pada itu, beliau menjelaskan peruntukan sebanyak RM200 kepada setiap guru KAFA sebagai elaun tambahan yang diterima daripada kerajaan persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, cadangan untuk meningkatkan elaun tambahan sedia ada akan diteliti kerana ia bergantung kepada peruntukan perbelanjaan kerajaan negeri.