'PM beri 'lampu hijau' laksana pembangunan di Tambun'

Muhamad Arafat (tiga dari kanan) menyerahkan pek makanan yang disumbangkan Muafakat kepada penduduk yang memerlukan.
Muhamad Arafat (tiga dari kanan) menyerahkan pek makanan yang disumbangkan Muafakat kepada penduduk yang memerlukan.
A
A
A

TAMBUN - Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta bersama Pejabat Ahli Parlimen Tambun akan memberi keutamaan terhadap pembangunan kawasan Parlimen itu dalam usaha memenuhi keperluan rakyat.

ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan membantu melaksanakan pembangunan yang dirancang di kawasan berkenaan.

"Apabila bertemu, beliau sering mengingatkan soal pembangunan yang perlu diutamakan. Beliau beri 'lampu hijau' apa-apa keperluan dalam Parlimen ini boleh buat surat dan hantar kepadanya.

"Bagaimanapun, sebarang permohonan atau perancangan perlu melihat kepada keperluan semasa serta mempunyai dokumen lengkap bagi memudahkan beliau untuk menyalurkan peruntukkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan pek makanan dapur daripada Pertubuhan Muafakat Harapan Malaysia (Muafakat) kepada penduduk Hulu Kinta di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun di Tanjung Rambutan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, menaik taraf jalan raya antara isu yang diberi perhatian ekoran rakyat mahu infrastruktur itu segera dilaksanakan.

"Mesyuarat telah diadakan bersama syarikat terlibat minggu lalu untuk kita dapatkan input melibatkan pelbagai isu terutama jalan raya bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Selain itu, selepas selesai pembukaan pusat khidmat di DUN Manjoi, kami akan memainkan peranan untuk mengetahui keperluan rakyat untuk disuarakan kepada PM (Perdana Menteri)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Muafakat, Azran Deraman berhasrat untuk memantapkan komuniti keusahawanan dalam kalangan belia di Tambun.

"Tambun mempunyai fasiliti antaranya Halal Park yang sesuai untuk menjana kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada belia-belia di sini.

"Kita akan teruskan proses membentuk usahawan belia dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen dan kementerian sebelum dilaksanakan tahun hadapan," katanya.