DUN Perak lulus Belanjawan 2023 RM1.19 bilion

Saarani selesai menggulung perbahasan Belanjawan Perak 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu. - Foto: Korporat SUK Perak
Saarani selesai menggulung perbahasan Belanjawan Perak 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu. - Foto: Korporat SUK Perak
A
A
A

IPOH - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu meluluskan Belanjawan 2023 berjumlah RM1.19 bilion.

Bajet dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM794 juta dan pembangunan RM395 juta itu diluluskan selepas dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad 22 Disember lepas.

Bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2023 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2023 itu dipersetujui dengan suara terbanyak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Seramai 23 ahli dewan daripada keseluruhan 59 terdiri daripada sembilan wakil rakyat blok kerajaan dan 14 pembangkang telah mengambil bahagian dalam perbahasan, Selasa lalu.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid sebelum itu mengarahkan semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.

Semua ADUN yang hadir kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.

Belanjawan yang bertemakan 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera' itu merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

Antara yang mencuri tumpuan ialah peningkatan peruntukan bagi tujuan pembangunan sebanyak RM93 juta atau 30.8 peratus kepada RM395 juta berbanding RM302 juta pada tahun 2022 dengan kebanyakannya disalurkan bagi tujuan program kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ketika sesi penggulungan perbahasan, Saarani berkata, Belanjawan Perak 2023 sangat penting menentukan tahap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam mengharungi gelora ketidaktentuan ekonomi di peringkat nasional dan global.

"Ia juga akan menjadi indikasi keupayaan kita mencipta momentum bagi menjayakan segala perancangan yang termaktub dalam pelan Perak Sejahtera 2030," katanya.

Beliau menjelaskan, pelan Perak Sejahtera 2030 diilhamkan dan dibentuk untuk mencapai tiga sasaran utama iaitu sejahtera sosial, sejahtera ekonomi dan sejahtera politik.

Katanya, perkara itu termasuklah memberi keadilan kepada rakyat untuk mendapat peluang serta kemudahan pendidikan, pekerjaan, perumahan dan keselamatan.

"Strategi, flagship, program dan inisiatif yang diformulasikan dalam pelan ini memastikan keterangkuman pelbagai komposisi kaum dan taraf sosioekonomi.

"Selain pengagihan pembangunan bersasar yang seimbang di seluruh negeri menerusi penjenamaan dan pengkhususan daerah," katanya.