Suami sakit kronik, warga emas buntu baiki rumah rosak akibat banjir

Warga emas, Hanim Azuar Mohamad, 69 menunjukkan keadaan rumah sempena sesi Ziarah Kasih MADANI di Kg Batu 17 di sini. - Foto Bernama
Warga emas, Hanim Azuar Mohamad, 69 menunjukkan keadaan rumah sempena sesi Ziarah Kasih MADANI di Kg Batu 17 di sini. - Foto Bernama
A
A
A

PADANG RENGAS - Sepasang suami isteri warga emas di Kampung Batu 17 di sini, terpaksa menempuh kehidupan sukar selepas sebahagian besar rumah yang didiami semakin mereput akibat banjir yang melanda kawasan itu sejak lebih 20 tahun lepas.

Hanim Azwar Mohd, 69, berkata bahagian dapur rumah berusia lebih 40 tahun itu kini hampir tidak selamat untuk diduduki manakala beberapa bahagian atap sudah bocor dan dinding retak akibat kesan bencana berkenaan.

"Masalah yang kami hadapi ini bukan baru. Setiap kali hujan lebat, pasti air dari anak sungai di belakang rumah ini melimpah dan menenggelamkan sebahagian besar kawasan rumah ini, terutama pada bahagian dapur.

"Ia menyebabkan banyak kayu yang digunakan untuk membina dapur rumah ini makin lama makin mereput, ditambah beberapa bahagian dinding yang retak serta berlaku kebocoran atap rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Ibu kepada sembilan cahaya mata itu berkata sebelum ini beliau pernah membaiki beberapa bahagian rumah yang rosak dengan bantuan penduduk sekitar namun ia tidak mampu bertahan dalam tempoh lama.

Hanim berkata keadaan menjadi bertambah sukar apabila suaminya Mohd Sapiee Kamarudin, 74, disahkan menghidap penyakit paru-paru kronik dan memerlukan penggunaan alat bantuan oksigen secara berterusan sejak 20 tahun lepas.

"Kami tiada pendapatan tetap selepas suami sakit. Wang yang ada menerusi bantuan baitulmal setiap bulan yang diterima juga digunakan untuk membayar sewaan alat bantuan oksigen suami.

"Nak harapkan anak-anak pula, mereka juga mempunyai tanggungan keluarga masing-masing. Jadi, itu yang saya harap kalau boleh ada pihak sanggup membantu kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata perkara itu akan dipanjangkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim (kiri) bertanya sesuatu kepada Mohd Sapiee Kamarudin, 74 (kanan) ketika hadir pada sesi Ziarah Kasih MADANI di Kg Batu 17 di sini. - Foto Bernama
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim (kiri) bertanya sesuatu kepada Mohd Sapiee Kamarudin, 74 (kanan) ketika hadir pada sesi Ziarah Kasih MADANI di Kg Batu 17 di sini. - Foto Bernama

"Kami tak boleh buat keputusan sekarang. Cuma kalau dilihat daripada mata kasar, rumah ini kemungkinan perlu dirobohkan dan dibina kembali bagi memastikan masalah yang berlaku tidak berulang.

"Cuma perkara ini saya akan bawa ke pihak ICU JPM terlebih dahulu bagi memastikan langkah bersesuaian dan sewajarnya diambil,” katanya.

Muhammad Kamil yang mengadakan sesi lawatan ke rumah berkenaan pada Program Ziarah Kasih MADANI Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau hari ini turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga berkenaan. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Sepasang suami isteri warga emas di Kampung Batu 17, Padang Rengas, terpaksa menempuh kehidupan sukar akibat rumah mereka yang mereput karena banjir sejak 20 tahun lalu
  • Rumah berusia lebih 40 tahun itu mengalami kerosakan pada dapur, dinding retak, dan bocor di atap
  • Mereka sebelumnya membaiki rumah dengan bantuan penduduk sekitar, tapi kerosakan kembali terjadi
  • Suami, Mohd Sapiee Kamarudin, mengidap penyakit paru-paru kronik dan memerlukan alat bantuan oksigen, menyebabkan keluarga itu tidak mempunyai pendapatan tetap
  • Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan akan memanjangkan isu ini kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!