Terpaksa catu belanja demi yuran sekolah, suri rumah syukur terima sumbangan

Ainul Bariah menemani anaknya, Aliff Aqasyah Mohamad Sukri, 9, menerima Sumbangan Kasih Madani, Kembali ke Sekolah Parlimen Padang Rengas 2026 yang disampaikan Muhammad Kamil.
Ainul Bariah menemani anaknya, Aliff Aqasyah Mohamad Sukri, 9, menerima Sumbangan Kasih Madani, Kembali ke Sekolah Parlimen Padang Rengas 2026 yang disampaikan Muhammad Kamil.
A
A
A

PADANG RENGAS - Seorang suri rumah di sini terpaksa mencatu perbelanjaan harian apabila mengenangkan yuran sekolah anak yang perlu dibayar dalam masa terdekat, sementelah suami belum menerima gaji bulanan.

Situasi itu dialami Ainul Bariah Mohd Mazzalan, 42, yang merupakan salah seorang penerima bantuan bagi program Sumbangan Kasih Madani, Kembali ke Sekolah Parlimen Padang Rengas 2026 di Pusat Komuniti Rakyat, Taman Puncak Bougainvillea di sini pada Sabtu.

Ibu kepada tiga anak berusia 5, 9 dan 16 tahun itu berkata, suaminya yang bekerja kilang lazimnya menerima gaji pada 15 hari bulan, sedangkan yuran dan keperluan awal persekolahan perlu dijelaskan lebih awal.

"Kalau masuk musim sekolah, perbelanjaan memang meningkat. Tiga anak saya semuanya bersekolah, kos boleh cecah lebih RM1,000. Tahun ini pula harga baju sekolah naik mendadak," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini harga pakaian sekolah sekitar RM50 sepasang, namun kini mencecah antara RM60 hingga RM70 bergantung kepada saiz, sekali gus menambah tekanan kewangan keluarga.

"Saya memang fokus gunakan bantuan kewangan ini untuk bayar yuran sekolah. Baju sekolah pun ada yang dapat bantuan, jadi sekurang-kurangnya beban itu dapat dikurangkan," ujarnya.

Suri rumah itu turut memaklumkan, ini merupakan tahun kedua keluarganya menerima bantuan sama.

“Alhamdulillah, bantuan ini memang sangat membantu, terutama ketika gaji suami belum masuk. Sekurang-kurangnya kami boleh buat persiapan awal tanpa terlalu risau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 500 pelajar terpilih menerima Sumbangan Kasih Madani, Kembali ke Sekolah Parlimen Padang Rengas 2026 melibatkan peruntukan keseluruhan RM50,000.
Seramai 500 pelajar terpilih menerima Sumbangan Kasih Madani, Kembali ke Sekolah Parlimen Padang Rengas 2026 melibatkan peruntukan keseluruhan RM50,000.

Program tersebut melibatkan pemberian bantuan awal persekolahan kepada 500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Parlimen Padang Rengas.

Setiap pelajar menerima bantuan RM100 dengan kos keseluruhan sebanyak RM50,000 disampaikan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Bercakap kepada pemberita, Muhammad Kamil berkata, bantuan tersebut merupakan tambahan kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diumumkan kerajaan sebelum ini, dengan peruntukan keseluruhan RM800 juta di peringkat nasional.

Jelasnya, pemilihan penerima dibuat dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berdasarkan senarai keluarga berpendapatan rendah dan data e-Kasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

"Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dan menampung sedikit keperluan anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan baharu yang akan bermula tidak lama lagi," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang suri rumah di Padang Rengas terpaksa mencatu perbelanjaan harian kerana yuran sekolah anak dan suami belum terima gaji
  • Ainul Bariah Mohd Mazzalan menerima bantuan Sumbangan Kasih Madani untuk anak-anaknya yang bersekolah
  • Kos perbelanjaan awal persekolahan boleh cecah lebih RM1,000 termasuk kenaikan harga baju sekolah
  • Program bantuan melibatkan pemberian RM100 kepada 500 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di Parlimen Padang Rengas
  • Bantuan tersebut tambahan kepada Bantuan Awal Persekolahan RM150 dari kerajaan dengan tujuan meringankan beban ibu bapa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!