3,856 OKU bekerja dalam perkhidmatan awam

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada seorang penerima selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) semalam. - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada seorang penerima selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 3,856 orang kurang upaya (OKU) telah mengisi perjawatan dalam perkhidmatan awam daripada keseluruhan 1,268,701 perjawatan sehingga 31 Dis 2018.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kementerian kini mengkaji kaedah dan strategi baharu bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkenaan lain untuk meningkatkan pelaksanaan dasar 1 peratus OKU dalam perkhidmatan awam dan industri swasta tertentu supaya OKU tidak terpinggir dalam pembangunan negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPWKM berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini semalam.

Menurut kenyataan itu, KPWKM telah berjaya melebihi sasaran dasar 1 peratus itu dengan 144 perjawatan iaitu 1.77 peratus telah diisi oleh OKU daripada keseluruhan 8,138 perjawatan.

Kementerian Pertahanan pula menunjukkan perkembangan positif dengan pencapaian 0.98 peratus, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu di tempat ketiga tertinggi dengan 0.97 peratus.

"Adalah diharapkan Jabatan Perkhidmatan Awam dapat meningkatkan lagi usaha ke arah pencapaian dasar ini,” kata KPWKM.

Menurut KPWKM, mesyuarat itu turut mengambil maklum mengenai pelancaran Kad OKU Sub Kategori Pembelajaran pada 7 Mac lepas yang bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih positif kepada OKU Pembelajaran selain dapat memastikan program pemulihan dilaksanakan dengan lebih fokus dan berstruktur.

"Pemegang kad OKU kategori pembelajaran yang sudah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh mula menukar kad mereka di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) berhampiran mulai 1 Mei 2019," katanya.

Artikel Berkaitan:

Di bawah inisiatif itu, OKU Pembelajaran dibahagikan kepada enam sub kategori iaitu Global Development Delay (GDD), Sindrom Down, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Autisme, Intelektual dan Specific Learning Disability.

Pada mesyuarat itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 orang Anggota Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (Individu) baharu bagi tempoh dua tahun bermula 1 April 2019 sehingga 31 Mac 2021. - Bernama