Peniaga gelisah barang tak laku

Keadaan Bazar Ole-Ole Melaka di Banda Hilir yang kurang didatangi pengunjung pada hari biasa. (Gambar kecil dari kiri: Siti Aminah, Azlin, Zulkifli)
Keadaan Bazar Ole-Ole Melaka di Banda Hilir yang kurang didatangi pengunjung pada hari biasa. (Gambar kecil dari kiri: Siti Aminah, Azlin, Zulkifli)
A
A
A

MESKIPUN kedatangan pelancong bertambah di negeri ini namun kebanyakan kedai di bazar Ole-Ole Melaka di Banda Hilir masih sepi.

Keadaan itu sememangnya berbeza sebelum pandemik Covid-19 melanda negara di mana lokasi yang menjadi tumpuan itu bukan sahaja dibanjiri pelancong domestik malah antarabangsa yang datang membeli buah tangan di situ.

Hakikatnya situasi itu jauh berbeza. Biarpun ada pengunjung namun peniaga mendakwa kuasa membeli tidak sehebat dulu.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NOR FARHANA YA'ACOB yang mendengar luahan dan harapan beberapa peniaga yang terjejas di bazar tersebut.

Peniaga produk tempatan dan barangan kraf di Bazar Ole-Ole Melaka di Bandar Hilir resah apabila barangan jualan mereka semakin kurang mendapat sambutan.

Biarpun cuti sekolah panjang dan trafik di kawasan sekitar agak sesak, namun kebanyakan kedai di pusat niaga itu kekurangan pelanggan, hanya beberapa kedai dilihat dikunjungi pelanggan, selebihnya pengunjung lebih berminat untuk hanya ‘mencuci mata’ dan melihat produk yang dipamerkan.

Pengurus kedai, Nur Alia Omar, 25, berkata, pendapatannya merosot lebih 60 peratus apabila hanya sekitar 10 pelanggan yang singgah dan membeli, manakala hujung minggu cuma bertambah 20 pelanggan.

Menurutnya, walaupun waktu operasi kedai seawal jam 10 pagi hingga 10 malam, namun jumlah pelanggan yang masuk ke kedai boleh dikira dengan jari.

Pelanggan yang membeli sangat kurang, mereka kata barangan ini mahal walaupun kita cuba menjual set ole-ole dengan tawaran tiga barangan dengan hanya RM10 atau lima barangan RM20,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kuasa membeli pelanggan tidak lagi sehebat sebelum negara dilanda pandemik Covid-19 dan kebanyakan pelancong hanya mampu mengeluarkan belanja asas perjalanan.

“Saya pun tidak tahu berapa lama lagi premis ini mampu bertahan kerana kos sewa gerai agak tinggi selain bayaran gaji pekerja dan bil utiliti juga perlu dibayar,” luahnya.

Peniaga makanan, Siti Aminah Mohamad Alias, 35, turut mengakui perkara yang sama dihadapi terutama ketika hari biasa, pelanggan berkurangan dan keadaan itu sangat berbeza sejak mula berniaga di situ lebih 10 tahun lalu.

Menurut Siti Aminah, impaknya pada hari biasa bukan sahaja barangan yang terjual hanya separuh daripada yang disasarkan malah ada hari dia terpaksa tutup operasi kerana tiada pelanggan yang datang membeli.

“Saya ada empat lot niaga di sini, dan anggaran sewa bulanan mencecah RM14,000 sebulan, kalau berterusan dengan sewa agak tinggi, sukar juga kita nak dapat keuntungan,” jelasnya.

Bagi peniaga pakaian, Zulkifli Alias, 56, dia merayu agar tarif elektrik di bangunan itu dikaji semula kerana mendakwa tarifnya lebih tinggi berbanding bangunan kekal.

Ujarnya, bil elektrik yang diterima setiap bulan mencecah RM400 hingga RM500 sebulan sedangkan pengunjung tidak seramai dulu selain mereka kurang membeli.

“Sudah lebih 13 tahun saya berniaga di sini, kita minta pihak penganjur menceriakan semula dan dapat promosikan bazar ini seperti mana mereka lakukan seawal pembukaan tempat ini.

“Dalam masa sama kita juga minta sewa bulanan yang ditetapkan dikaji semula kerana ia agak membebankan peniaga yang baru hendak bangkit selepas pandemik,” katanya.

Cadang penganjur hebatkan promosi, beri nafas baharu

Sementara itu, Penganjur Bazar Ole-ole Melaka perlu menterjemahkan idea lebih kreatif dan segar untuk memberi nafas baharu kepada peniaga di bazar berkenaan.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, transformasi itu perlu dilaksanakan memandangkan bangunan itu telah berusia lebih 10 tahun.

Menurutnya, ini termasuk mengecat semula dan menambah baik bangunan tersebut agar pelancong tertarik ke lokasi itu sekali gus dapat memberi pulangan rezeki kepada peniaga.

Biarpun dikunjungi pelancong namun peniaga di Bazar Ole-Ole Melaka di Banda Hilir mendakwa kuasa membeli tidak sehebat dulu.
Biarpun dikunjungi pelancong namun peniaga di Bazar Ole-Ole Melaka di Banda Hilir mendakwa kuasa membeli tidak sehebat dulu.

“Tambah baik perlu dilaksanakan seiring dengan bayaran sewa yang dikenakan mencecah ribuan ringgit. Jika itu dapat direalisasikan, peniaga akan gembira berniaga di situ,” jelasnya.

Ujarnya, kerajaan negeri juga boleh memainkan peranan dalam mempromosikan lokasi berkenaan dengan menjalinkan kerjasama bersama bas-bas pelancong agar kawasan itu sering dikunjungi biarpun pada hari biasa.

“Perlu lebih promosi dan tularkan tempat ini supaya peniaga dapat berkekalan berniaga di Bandar Hilir,” katanya.

Menurut Azlin, kerajaan perlu memainkan peranan terutama dalam sektor pelancongan bagi membantu peniaga yang mengusahakan barangan cenderahati dan kraf tangan yang kurang mendapat sambutan ketika ini.

“Kerajaan perlu mewujudkan hab produk seperti itu supaya pelancong dalam mahupun luar negara lebih mengetahui.

“Malah perlu ada satu mekanisme berkesan dalam memasarkan produk ini bagi membantu peniaga yang mengusahakannya,” katanya.