Remaja maut jatuh PPR: Beri ruang pihak berkuasa siasat

Haniza (kiri) ketika menziarahi ibu mangsa, Seri Sunarti (duduk) di rumah mereka di PPR Kota Damansara, Seksyen 8, hari ini.
Haniza (kiri) ketika menziarahi ibu mangsa, Seri Sunarti (duduk) di rumah mereka di PPR Kota Damansara, Seksyen 8, hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan Negeri Selangor akan menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum menentukan sebarang tindakan berhubung kes kematian Khorilsyahrulnizam Che Norizam, 15, yang maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara, semalam.

Exco Perumahan dan ​K​ehidupan Bandar,​ ​Haniza Mohamed Talha​​ berkata, beliau memberi ruang kepada pihak terlibat untuk menjalankan siasatan​ bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Setelah mereka selesai, kita akan lihat puncanya disebabkan apa. Lawatan saya ke lokasi hari ini tidak melihat insiden yang berlaku ada kaitan dengan masalah bangunan kerana pagar atau penghadang di koridor ini tinggi, malah sukar untuk sesiapa bolos melainkan ia dipanjat.

​"Tiada sebarang kesan ditemui, malah tiada sesiapa nampak kejadian dan kebanyakan penduduk sedar selepas mangsa terjatuh. Jadi sebaik-baiknya kita tunggu laporan forensik serta siasatan dijalankan pihak berkuasa terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di rumah mangsa hari ini..

Terdahulu, Haniza menziarahi keluarga mangsa dan turut memberi sumbangan wang bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Haniza berkata, buat masa ini, beliau juga akan memberi ruang kepada keluarga mangsa untuk bertenang termasuk bantuan lain seperti kaunseling bagi mengurangkan trauma dihadapi mereka akibat insiden itu.

​"Ibu mangsa juga ada maklumkan dia tak boleh tinggal di sini kerana terpaksa lalu di kawasan sama (lokasi kejadian) dan pasti akan teringat kejadian menimpa anak keduanya itu.​

​"Dia bercadang untuk pulang ke kampungnya di Banting dan saya melihat itu sebagai cara terbaik untuk dia melupakan seketika apa yang berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Haniza turut mengingatkan semua ibu bapa untuk sentiasa memantau dan memerhatikan pergerakan anak-anak mereka.

"Saya juga berharap pembukaan pusat aktiviti kanak-kanak di blok-blok PPR ini dapat dipercepatkan pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat​)​ kerana ia akan menempatkan kaunselor untuk memantau perkembangan anak-anak di kawasan PPR termasuk memberi kaunseling kepada mereka," katanya melihat perkara itu sebagai salah satu inisiatif untuk menyelami masalah dihadapi anak-anak remaja.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Bunyi dentuman kuat rupanya anak saya jatuh...'