JKNJ akan keluarkan laporan penuh kematian kanak-kanak

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) diminta menyediakan laporan lengkap berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dipercayai akibat strok haba pada Isnin.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

"Saya sudah maklum berita tersebut sudah tular dan telah mengarahkan JKNJ untuk sediakan laporan lengkap.

"JKNJ akan keluarkan kenyataan dalam waktu terdekat," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum itu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia kira-kira 7 pagi Isnin, disyaki disebabkan strok haba.

Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak keduanya Airiel Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat 'septic shock secondary to meningoencephalitis' di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Katanya, anak kedua daripada empat beradik itu, mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau, kira-kira 10 malam, Ahad lalu.

Beliau berkata, pada mulanya murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lelaki Bandar Kluang itu termasuk adik lelakinya berusia sembilan tahun dan ibu mereka demam biasa dan memakan ubat.

Syahrol Azmi berkata, doktor menerangkan anaknya mengalami simptom strok haba sehingga buah pinggang terjejas dan ada radang otak.

Beliau berkata, anak ketiganya, Aidil Syahren, 9, kini stabil dan masih berada di wad.