Rumah 50 tahun lenyap sekelip mata

Mek Mas bersama anak dan cucunya di tapak rumah yang hilang dibawa arus kuat dalam kejadian banjir besar pada Ahad lalu.
Mek Mas bersama anak dan cucunya di tapak rumah yang hilang dibawa arus kuat dalam kejadian banjir besar pada Ahad lalu.
A
A
A

BESUT - Tiada kata-kata yang mampu diluahkan untuk menggambarkan perasaan seorang warga emas yang sekelip mata kehilangan rumah didiami selama lebih 50 tahun dalam kejadian banjir besar di Kampung La, di sini Ahad lalu.

Rumah milik Mek Mas Salleh, 66, yang dibina pada tahun 1973 lenyap dibawa arus deras bersama semua kelengkapan dan pakaian sekali gus menyebabkan wanita itu tinggal sehelai sepinggang.

"Memang sedih sebab ini satu-satunya tempat tinggal saya, dalam sehari saja semuanya hilang," ceritanya kepada Sinar Ahad.

Menurut Mek Mas, struktur utama rumah kayu empat bilik itu musnah sama sekali dan hanya tinggal bahagian bilik air dan sedikit dapur kerana dibina dengan konkrit selain loteng tempat simpanan barang.

Mek Mas
Mek Mas

Menceritakan kembali kejadian banjir besar itu, Mek Mas yang tinggal seorang diri selepas kematian suami berkata, dia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan La selepas menyedari air meningkat naik.

Bagaimanapun, dia terpaksa berpindah sekali lagi ke rumah jiran berhampiran iaitu pada jarak kira-kira 20 meter berikutan sekolah berkenaan turut dinaiki air.

"Selepas air surut, saya balik dan terkejut mendapati rumah bersama semua barang dihanyutkan arus deras.

Artikel Berkaitan:

"Saya kini menumpang sementara di rumah jiran kerana rumah anak di kampung berhampiran turut ditenggelami banjir. Empat anak yang lain pula bekerja di luar Terengganu," tuturnya.

Walaupun Kampung La sering dilanda banjir setiap tahun, Mek Mas menyifatkan banjir kali ini adalah yang terburuk sepanjang dia tinggal di sini dengan paras air mencecah 5 meter. Arus deras turut menyebabkan kemusnahan besar.

Dia kini berharap kerajaan atau mana-mana pihak dapat membantunya membina semula rumah yang menjadi tempat lima anak, menantu, cucu dan enam adik-beradiknya berkumpul setiap kali musim perayaan serta cuti umum.

Mek Mas melihat keadaan tapak rumahnya setelah struktur utama dihanyutkan arus di Kampung La, Besut.
Mek Mas melihat keadaan tapak rumahnya setelah struktur utama dihanyutkan arus di Kampung La, Besut.

Sementara itu anak keempat Mek Mas, Suraya Mokhtar, 36, berkata, dia tidak menyangka rumah hanyut dalam banjir besar di Besut tular dalam media sosial yang ditontonnya merupakan rumah milik keluarganya.

"Ketika itu saya terputus hubungan dengan ibu selama empat hari, tidak boleh hubungi kerana tiada bekalan elektrik.

"Tidak tahu bagaimana keadaan mak, hanya mengharapkan video-video daripada orang kampung dalam media sosial.

"Selepas laluan ke kampung yang terputus pulih, saya terus balik dan terkejut selain hanya mampu menangis melihat rumah tempat kami membesar hilang dibawa arus banjir," katanya.