Pasangan warga emas tergamam bumbung rumah diterbang angin

Keadaan bumbung rumah Dul Jalil yang rosak akibat dilanda hujan lebat.
Keadaan bumbung rumah Dul Jalil yang rosak akibat dilanda hujan lebat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Sepasang suami isteri warga emas tergamam selepas bumbung rumah mereka diterbangkan angin kuat ketika hujan lebat di Kampung Sungai Yu di sini pada Khamis lalu.

Dul Jalil Mahmud, 70, berkata, kejadian jam 6.50 petang itu berlaku sewaktu dia dan isterinya, Jamiah Mustamar, 64, sedang sibuk mengemas di dapur.

"Kebetulan sebelum kejadian, rumah kami dikunjungi tetamu yang datang beraya dan tidak lama selepas mereka pulang, saya terdengar bunyi dentuman kuat.

"Pada mulanya saya ingat bunyi guruh atau petir, tetapi sangkaan saya meleset selepas melihat bumbung ruang tamu rumah tercabut dan air hujan mula masuk ke dalam rumah," katanya kepada Sinar Harian.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar turut berkesempatan menziarahi dan memberikan sumbangan baik pulih rumah kepada Dul Jalil dan keluarganya pada Ahad.

Noh (tiga dari kiri) menziarahi Dul Jalil (dua dari kanan) selepas rumah pasangan warga emas itu dilanda angin kencang ketika hujan lebat di Kampung Sungai Yu di sini pada Khamis lalu.
Noh (tiga dari kiri) menziarahi Dul Jalil (dua dari kanan) selepas rumah pasangan warga emas itu dilanda angin kencang ketika hujan lebat di Kampung Sungai Yu di sini pada Khamis lalu.

Menceritakan lanjut detik cemas itu, Dul Jalil memberitahu, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata sahaja dan bersyukur kerana dia dan isteri selamat.

"Semuanya berlaku secara tiba-tiba dan nasib baik bumbung rumah terangkat di bahagian atas dan kalau jatuh ke bawah saya risau lebih banyak kerosakan kami alami.

"Kebetulan pula, saya baru saja ganti kerusi plastik di ruang tamu, manakala perabot seperti sofa saya alihkan ke dapur," jelasnya.

Sementara itu, Noh berkata, sumbangan peribadi disalurkan kepada Dul Jalil bagi kerja-kerja baik pulih rumah yang dijangka siap sepenuhnya dalam waktu terdekat.

Katanya, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban keluarga terbabit terutama semasa sambutan Aidilfitri ini.

"Saya bersimpati dengan nasib dialami keluarga ini lebih-lebih lagi rumah ini menjadi tempat mereka berteduh," jelas Noh.