Banjir: Peniaga Rantau Panjang buat jualan lelong

Peniaga di Rantau Panjang mula mengadakan jualan secara lelong dengan tawaran harga lebih rendah berbanding harga biasa selepas kedai mereka ditenggelami banjir awal minggu lepas. - Gambar hiasan
Peniaga di Rantau Panjang mula mengadakan jualan secara lelong dengan tawaran harga lebih rendah berbanding harga biasa selepas kedai mereka ditenggelami banjir awal minggu lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

RANTAU PANJANG - Beberapa peniaga di bandar ini mula mengadakan jualan secara lelong dengan tawaran harga lebih rendah berbanding harga biasa selepas kedai mereka ditenggelami banjir awal minggu lepas.

Tinjauan Bernama di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang menyerbu beberapa premis menjual permaidani dan perabot yang membuat jualan lelong.

Pemilik kedai permaidani dan perabot, Halimuddin Musa, 56, berkata, dia mengambil keputusan untuk mengadakan jualan lelong bagi menampung kerugian akibat banjir yang melanda kedainya sejak Ahad lepas.

Halimuddin berkata, walaupun barang-barang yang dilelong itu tenggelam ketika banjir namun ia masih elok, kualiti baik dan masih boleh digunakan.

"Barang-barang ini masih elok, rugi kalau dibuang. Jadi daripada dibuang, saya mengambil inisiatif lain dengan menjualnya secara lelong bermula semalam.

"Barangan di kedai ini dilelong pada harga serendah RM10. Ada juga barangan yang harga asalnya RM70 tetapi disebabkan banjir, kami lelong pada harga RM25 sahaja,” katanya kepada Bernama.

Menurut Halimuddin, banjir setinggi 1.5 meter (m) yang melanda Rantau Panjang memaksa kesemua peniaga di bandar itu tidak berniaga sehingga air mula surut sejak Jumaat, namun dia sendiri belum dapat menganggarkan kerugian dialami.

Seorang pembeli Azhari Muhamad, 40, yang juga tukang gunting rambut berkata, dia sanggup memandu hampir sejam dari Kota Bharu untuk mengambil kesempatan membeli barangan pada harga yang jauh lebih murah itu.

"Jualan lelong ibarat sudah menjadi adat setiap kali selepas bandar Rantau Panjang dilanda banjir. Harga barang yang dijual jauh lebih murah dan barangnya juga masih elok lagi.

Artikel Berkaitan:

"Memang setiap kali selepas banjir di Rantau Panjang, saya akan datang ke sini kerana setiap tahun memang air naik di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga dari Pasir Mas, Azmi Ismail, 52, mengakui berbaloi membeli barang-barang dilelong walaupun ia telah ditenggelami banjir sebelum ini.

"Walaupun dah tenggelam dalam banjir, tapi masih elok lagi. Kalau nak ikutkan harga asal, memang mahal. Jadi pada kesempatan ini dapatlah saya membeli pada harga jauh lebih murah,” katanya yang memperuntukkan RM100 untuk membeli tikar-tikar yang dilelong.

Sementara itu, tinjauan Bernama di zon bebas cukai Rantau Panjang mendapati hanya beberapa peniaga sahaja membuka perniagaan manakala kebanyakan kedai lain masih belum beroperasi. - Bernama