Bekalan telur ayam semua gred mencukupi di NS

Veerapan (duduk) melihat telur ayam yang dijual di sebuah pasar raya di Rembau.
Veerapan (duduk) melihat telur ayam yang dijual di sebuah pasar raya di Rembau.
A
A
A

REMBAU - Bekalan telur ayam pelbagai gred di Negeri Sembilan masih mencukupi dan mudah diperoleh orang awam, kata Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.

Beliau berkata, bagaimanapun ada sesetengah tempat yang terputus bekalan sekejap kerana berdepan masalah logistik.

"Biasanya di kawasan yang permintaannya tinggi ada terputus bekalan sekejap, tapi dalam tempoh dua hari ia sudah ada.

"Tapi secara keseluruhan, tiada isu bekalan telur ayam di Negeri Sembilan dan setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung perkara itu," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pihaknya juga menafikan ada kegiatan menyorok telur ayam di negeri itu dan tidak mungkin berlaku.

Ini kerana katanya, jangka hayat telur adalah pendek dan mudah rosak.

"Kalau nak sorok pun, berapa lama mereka boleh sorok? Tapi peniaga boleh hadkan berapa papan telur boleh dibeli setiap pelanggan supaya semua orang boleh dapat," katanya.

Berkenaan kemasukan telur import di negeri ini, Veerapan berkata, buat masa ini pihaknya dimaklumkan hanya pasar raya Mydin yang menjual telur berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ulasnya, untuk satu papan telur import dijual dengan harga RM14.90 yang mana lebih mahal daripada harga telur tempatan.

Sementara itu katanya, dalam tempoh Januari hingga 22 Disember (Khamis), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan mengeluarkan kompaun RM172,900 atas pelbagai kesalahan membabitkan pemeriksaan di 37,127 premis.

"Ia melibatkan nilai rampasan RM3.4 juta. Selain itu sebanyak 984 jumlah aduan diterima dalam tempoh berkenaan dengan aduan tertinggi berkaitan harga iaitu 310 aduan," katanya.