Pertuduhan terhadap Shahrir diteruskan walau tidak lengkap - Saksi

 Shahrir Ab Samad
Shahrir Ab Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, bahawa Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Tommy Thomas mengarahkan dakwaan terhadap Tan Sri Shahrir Ab Samad diteruskan meskipun kertas siasatan belum lengkap.

Penolong Penguasa Cawangan Sasaran Operasi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Nurzahidah Yacop berkata demikian ketika perbicaraan kes Shahrir yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Saksi pendakwaan ke-22 (SP-22) itu berkata, kertas siasatan daripada Timbalan Pendakwa Raya telah diterima, yang mana izin mendakwa bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu diperoleh pada 15 Januari 2020.

Nurzahidah, 35, juga bersetuju dengan cadangan peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir, bahawa pihaknya tidak pernah menyiasat wang RM1 juta daripada Najib bagi menggantikan wang pencen.

Sedangkan peguam itu berkata, Shahrir telah memberi penegasan berhubung perkara itu sebanyak lapan kali, ketika soal siasat pada 2019.

Nurzahidah: Saya ada beritahu pegawai atasan, tapi tiada arahan lanjut diberikan.

Syed Faisal Al-Edros: Saya cadangkan, Shahrir sudah membelanjakan lebih RM2.6 juta sebagaimana tertera dalam transaksi dalam buku akaun banknya, sebelum menerima wang berjumlah RM1 juta daripada Najib.

Nurzahidah: Ya.

Artikel Berkaitan:

Syed Faisal: Adakah adil, apabila puan tidak siasat daripada sudut ini?

Nurzahidah: Tidak adil tetapi dokumen ini (penyata bank) tidak pernah diberi kepada saya, kerana siasatan hanya dibuat selepas tarikh penerimaan wang RM1 juta pada 28 November 2013.

Syed Faisal: Anak guam saya berkali-kali tegaskan perkara itu tetapi pegawai atasan tidak bagi arahan untuk siasat, puan rasa musykil atau tidak?

Nurzahidah: Ada.

Pada 21 Januari 2020, Shahrir didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Perbuatan didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.