Najib serah sendiri cek RM1 juta kepada Shahrir - Saksi

 Shahrir
Shahrir
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan sendiri cek RM1 juta kepada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad pada 27 November 2013.

Penolong Penguasa Cawangan Sasaran Operasi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Nurzahidah Yacop berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes Shahrir yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri itu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Saksi pendakwaan ke-22 (SP-22), Nurzahidah, 35, berkata, hasil siasatan mendapati Najib menulis dan menandatangani cek tersebut sebelum diserahkan sendiri kepada Shahrir di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada tarikh tersebut.

“Sehari kemudian iaitu 28 November tahun sama, terdapat kemasukan wang sebanyak RM1 juta ke akaun Public Bank Berhad milik bekas Ahli Parlimen Johor Bahru ini.

“Beberapa transaksi pengeluaran berjumlah RM997,285 direkodkan bermula 2 Disember 2013 hingga 31 Mac 2014,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM543,800 digunakan bagi melaksanakan Projek Pemulihan Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) Larkin, Johor Bahru.

Selain itu katanya, RM10,000 turut dikeluarkan kepada UMNO Cawangan Taman Kebun Teh iaitu perbelanjaan yang melibatkan tugas tertuduh ketika itu sebagai ahli Parlimen.

Selebihnya, beliau berkata, RM443,485 dipercayai untuk kegunaan peribadi disalurkan antaranya ke akaun isteri, Shahrizan Abdullah dan anak tertuduh, Marisa Diyana serta syarikat kereta, Sutera Auto Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding sebelum ini, SP ketujuh, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd, Rozana Khalid memberitahu mahkamah bahawa Shahrir telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.

Nurzahidah berkata, tertuduh tidak pernah membuat pengisytiharan penerimaan dana tersebut walaupun ia dikira sebagai pendapatan.

“Ia disahkan melalui maklumat percukaian milik Shahrir bagi tahun 2013 hingga 2018 yang mana tiada sebarang pengisytiharan pendapatan melebihi RM1 juta dalam Borang BE.

“Bekas Pengerusi Felda itu hanya mengisytiharkan pendapatan pada 2013 (RM87,834); 2014 (RM128,104); 2015 (RM213,394); 2016 (RM189,545); 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191),” katanya.

Membaca lanjut pernyataan saksi, Nurzahidah berkata, pada 24 September 2019, beliau menerima kertas siasatan daripada pegawai rekod Cawangan Sasaran Operasi.

Katanya, siasatan mendapati, Shahrir terlibat dalam amalan pengubahan wang haram iaitu menerima, mengguna dan memindahkan hasil haram daripada aktiviti rasuah berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun miliknya.

Shahrir kemudiannya ditangkap pada 20 Januari 2020 manakala keesokkan harinya, bekas pemimpin UMNO ini didakwa atas satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini.

Dalam prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi manakala Shahrir diwakili peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros.

Pada 21 Januari 2020, Shahrir, 73, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Perbuatan didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung Khamis.