'Teringat ahli keluarga ketika angkat mayat'

Kalaimaran ketika ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Kalaimaran ketika ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
A
A
A

BATANG KALI - "Ini tanggungjawab sebagai manusia untuk bantu satu sama lain," kata anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), R Kalaimaran.

Pemuda berusia 36 tahun itu berkata, semangat menyelamat sudah sebati dalam dirinya sejak menjalani kursus asas Pertahanan Awam pada September lalu.

Menurut Kalaimaran, menyertai APM sememangnya diimpikan dalam usahanya membantu dan terlibat tugasan menyelamat.

"Semangat ingin membantu kian menebal kerana sebelum ini saya tidak tahu bagaimana untuk melakukan aktiviti menyelamat terutamanya kepada mangsa bencana.

Kalaimaran (dua dari kiri) ketika bertugas di lokasi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Kalaimaran (dua dari kiri) ketika bertugas di lokasi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.

"Tragedi tanah runtuh pada 16 Disember lalu yang melibatkan hampir 100 orang mangsa dan 30 kehilangan nyawa sememangnya amat memilukan.

"Sehingga hari ini operasi mencecah hari kelapan dan seorang lagi mangsa masih belum dijumpai," katanya pada Jumaat.

Menceritakan tugasan yang dilaksanakan bersama rakan setugas, Kalaimaran berkata, dia mula memasuki lokasi pencarian seawal hari pertama.

"Pada hari pertama itu juga saya dapat membantu pasukan lain untuk mengangkat tiga mayat yang tertimbus dalam tanah dan waktu itu terdetik mengingatkan ahli keluarga saya.

"Perasaan di lokasi ada kalanya menyedihkan dan menakutkan apatah lagi operasi pada waktu malam. Dapat dibayangkan suasana awal hari kejadian yang sememangnya gelap tanpa cahaya lampu," ujarnya.