Selepas 5 tahun, dua bekas pemain bola bebas tuduhan rasuah

(Dari kiri) Geethan Ram, Prem Kumar, Khairul Anuar dan Ridha Abda bersyukur atas keputusan mahkamah.
(Dari kiri) Geethan Ram, Prem Kumar, Khairul Anuar dan Ridha Abda bersyukur atas keputusan mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membebaskan sabitan bersalah terhadap seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dan seorang bekas pemain kelab tempatan daripada tuduhan menawarkan rasuah berjumlah RM20,000 kepada penjaga gawang dan pemain kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA), lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datin Rohani Ismail pada prosiding keputusan rayuan yang dibuat Khairul Anuar Baharum, 48, dan G Prem Kumar, 54, terhadap sabitan bersalah dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dikenakan terhadap kedua-duanya oleh Mahkamah Sesyen dua tahun lalu.

"Setelah mahkamah meneliti, mahkamah memutuskan rayuan kedua-dua tertuduh dibenarkan dan oleh demikian, sabitan bersalah pada 17 Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen adalah diketepikan.

"Wang denda RM50,000 dan jaminan yang telah dibayar sebelum ini turut diperintahkan dipulangkan," katanya.

Rohani turut menasihatkan supaya tertuduh tidak lagi membuat kerja yang boleh mendatangkan kecurigaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menawarkan RM10,000 kepada penjaga gawang MISC-MIFA sebagai dorongan untuk mengatur perlawanan antara MISC-MIFA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang berlangsung pada 7 April 2017 supaya pasukan itu tewas 0-2 kepada PKNP.

Prem Kumar (dua dari kiri) dan Khairul Anuar (dua dari kanan) diapit Geethan Ram dan Carmen.
Prem Kumar (dua dari kiri) dan Khairul Anuar (dua dari kanan) diapit Geethan Ram dan Carmen.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menawarkan RM10,000 kepada seorang pemain MISC-MIFA sebagai dorongan untuk mengatur perlawanan sama.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu dilakukan pada 27 Mac 2017 antara jam 9 hingga 10 malam, di Kawasan Industri Ringan Senawang di sini.

Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai Ah Chong yang ditemui media di luar mahkamah meluahkan rasa syukur atas keputusan itu dan menyifatkan kebenaran akhirnya berpihak kepadanya.

"Sepanjang lima tahun saya susah untuk berjumpa dengan orang ramai kerana masih dihantui dengan kes ini yang belum selesai.

"Kadang-kadang rasa malu, tapi alhamdulillah selepas lima tahun, mahkamah mendapati saya tidak bersalah.

"Terima kasih kepada rakan-rakan yang sentiasa mendoakan saya dan menyokong saya daripada belakang terutama isteri yang banyak berkorban," katanya yang diwakili peguam, Ridha Abdah Subri.

Prem Kumar pula hanya tersenyum apabila diminta memberi komen berhubung keputusan itu namun nyata kelihatan gembira.

Khairul Anuar diwakili peguam Ridha Abdah Subri manakala Prem Kumar diwakili Datuk Geethan Ram Vincent dan Carmen Eu Kah Mun.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.