Melaka nafi disaman pemaju Melaka Gateway

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri menafikan disaman syarikat pemaju Melaka Gateway, KAJ Development Bhd dan projek mega berkenaan masih diteruskan mengikut perjanjian asal.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, setakat ini tidak timbul isu pembatalan projek pelabuhan laut dalam tersebut dan Melaka tidak terlibat dengan tindakan saman yang dilakukan pemaju itu.

Menurutnya, isu yang berbangkit melibatkan perlesenan dan sebagainya dan proses itu terletak di bawah kuasa selia kerajaan pusat selain yakin akan wujud penyelesaian secara baik di antara pemaju dengan pihak kerajaan.

Katanya, proses perbincangan diantara Melaka dan syarikat berkenaan masih diteruskan dalam menyelesaikan beberapa isu yang melibatkan perjalanan kerja-kerja penambakan Pulau Tiga kerana terdapat sedikit perubahan pada pelan asal berbanding pelan baharu.

"Di mana pada asalnya mengikut perjanjian dan pelan keseluruhan projek itu akan melalui keseluruhan tambakan, namun pada pelan baharu KAJ melibatkan dua kaedah iaitu sebahagian ditambak dan sebahagiannya lagi tidak ditambak.

"Kita di peringkat kerajaan negeri sedia mendengar pandangan-pandangan mereka (KAJ Development Bhd) dan jika perlu ada perjanjian baharu untuk Pulau Tiga kita akan buat kerana KAJ mengubah spesifikasi pulau tersebut," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai Kerajaan PH disaman RM139 bilion kerana membatalkan projek mega berkenaan.

Tambahnya, segalanya masih lagi dalam perbincangan dan tiada isu Melaka Gateway diberhentikan.

Artikel Berkaitan:

"Dua minggu lepas juga saya baharu bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Melaka Gateway, Datuk Michelle Ong membincangkan mengenai projek ini," katanya.

Sebelum ini sebuah portal berita menyiarkan KAJ Development memohon ganti rugi am berdasarkan nilaian mahkamah dan ganti rugi khas sebanyak RM139 bilion dengan menamakan Lembaga Pelabuhan Melaka, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, awal bulan ini.

Difahamkan, projek seluas 552.8 hektar bernilai RM43 bilion dan dilancarkan pada 2014, dijangka siap sepenuhnya pada 2025.