Umum projek mega: PM cakap tak serupa bikin - Razali

Razali
Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar tidak menjalankan tadbir urus secara pilih kasih berikutan tindakannya mengumumkan peruntukan tambahan dan projek mega di beberapa negeri yang dilawati sejak menerajui kerajaan pusat meskipun sudah berikrar untuk tidak meneruskan amalan tersebut.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, tindakan terbaharu Anwar di Negeri Sembilan yang mengumumkan keputusan kerajaan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah lebih RM1 bilion di negeri itu hanya membuktikan beliau bersikap ‘hipokrit’ dan tidak menepati janji-janjinya sebelum menjawat jawatan tersebut.

Ini termasuklah juga katanya, pengumuman Anwar kepada Pulau Pinang berhubung pelaksanaan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri berkenaan dan peruntukan khusus sebanyak RM1.6 bilion kepada negeri Kedah seperti yang diumumkan pada 3 Mei lalu.

“Di Kelantan beliau kata akan cari dana untuk selesaikan masalah air dan di Selangor beliau ada umum peruntukan RM35 juta bagi memperluas pelaksanaan program Kita-Untuk-Kita (K2K) di 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Pada saya, beliau cakap tak serupa tak bikin, saya harap rakyat kena sedar pembohongan demi pembohongan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Anwar yang bertindak melanggar ikrarnya sebelum ini dengan mengumumkan dana tambahan dan projek mega ketika melawat beberapa negeri sebelum ini.

Pada Januari lalu, Anwar berikrar tidak akan meneruskan amalan kerajaan terdahulu yang disifatkannya selalu mengumumkan projek-projek pembangunan ketika melakukan lawatan di negeri-negeri terutama ketika menjelang pilihan raya.

Razali berkata, tindakan itu juga memperlihatkan beliau cuba meraih sokongan rakyat di negeri yang terlibat dengan pilihan raya kecil (PRK) tidak lama lagi.

“Sebelum pilihan raya semua orang disalahkan, tapi bila beliau berada dalam kuasa, beliau pula yang lakukan perkara itu.

“Kalau kita tengok ciri-ciri orang munafik ini, apabila dia bercakap dia berbohong, apabila dia janji dia mungkir, bila diberi amanah tidak amanah. Tapi bila beliau berada dalam kuasa, beliau pula yang lakukan perkara itu.

“Mungkin cara dia bercakap macam boleh membantu kepada pelaburan baharu, tapi buatlah perkara ikut peraturan, untuk lulus berbilion-bilion tak berbincang ke?” ujarnya.

Tambahnya, Anwar juga dilihat sering melanggar prosedur operasi standard (SOP) permohonan projek dengan membuat pengumuman secara tiba-tiba.